KUALA LUMPUR – Program intervensi bagi meningkatkan kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) dalam kalangan murid Tahun Satu disifatkan sebagai ‘kesegeraan yang tidak rasional’.
Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, adalah sesuatu yang normal untuk murid yang baru memasuki Tahun Satu tidak mahir membaca, menulis dan mengira.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan UKM menambah, situasi itu lebih ketara dalam kalangan murid dari keluarga miskin atau di luar bandar dan pedalaman yang tidak mengikuti pra pendidikan.
“Jika kita begitu bertegas mahu menggunakan istilah ‘tidak menguasai’ atau ‘keciciran 3M’ untuk murid Tahun Satu sepatutnya kena wajibkan dahulu pra sekolah.
“Itu baru sistem pendidikan yang adil dan teratur. Sangat tidak adil untuk kita kategorikan murid-murid tidak kuasai 3M dan mereka perlu dintervensi sedangkan mereka langsung tidak berpeluang ke pra sekolah,” katanya dalam catatan di laman Facebook beliau hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Anwar berkata, apa yang diperlukan untuk mengatasi masalah keciciran 3M dalam kalangan murid itu bukanlah program intervensi sebaliknya melatih guru-guru yang berkemahiran dan faham tentang pembelajaran awal kanak-kanak.
Kemahiran 3M memerlukan bimbingan berterusan oleh guru-guru yang berkemahiran tinggi tentang pembelajaran awal kanak-kanak, justeru guru yang hebat dan cemerlang mesti diletakkan sebagai guru Tahun Satu.
Selain itu, katanya, bilangan murid untuk kelas Tahun Satu juga perlu dikecilkan dengan maksimum seramai 20 orang supaya guru yang berkemahiran tinggi dapat membimbing murid mengikuti keperluan yang berbeza.
Menerusi pendekatan itu, murid-murid yang sudah mahir 3M akan diberikan pengayaan pembelajaran, murid-murid sederhana akan diberikan pengukuhan pembelajaran dan murid-murid yang lemah akan diberikan bimbingan pembelajaran secara individu.
“Itu lebih baik berbanding intervensi yang dimulakan dengan pelabelan ‘murid cicir’ dan amalan `streaming’ kononnya ada ‘murid pandai’ dan ada ‘murid bodoh’.
“Itu bukan satu pemikiran yang baik dan logik jika kita mahu membina sistem pendidikan berkualiti,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, seramai 122,062 murid Tahun Satu sesi persekolahan 2024/2025 dikenal pasti perlu mengikuti program intervensi bagi meningkatkan kemahiran 3M.
Jelas beliau, angka itu mewakili 27.5 peratus daripada keseluruhan 448,113 murid Tahun Satu yang berdaftar di sekolah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM). – MalaysiaGazette