Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man Merasmikan Pra Muktamar Dewan Pemuda PAS di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2024

TEMERLOH – Tanggungjawab menjaga kawasan digalas dengan baik meskipun dua kawasan berbeza diwakilinya di dua negeri iaitu Pahang dan Kelantan.

Itu kata Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka dan Ahli Parlimen Kubang Kerian di Kelantan.

Timbalan Presiden Pas itu berkata, kerja-kerja lapangan bertemu rakyat yang dilakukannya tanpa perlu memberitahu kepada UMNO yang menjadi kerajaan negeri di Pahang  kerana sudah memang kewajipannya.

Beliau sekali gus menyangkal dakwaan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim yang mendakwanya  tidak turun di  Cheka kerana terlalu sibuk menjaga dua kawasan.

“Daripada segi pusat khidmat mana pun kita buat, saya sentiasa turun jumpa pengundi jumpa rakyat tak payah beritahu UMNO. Ada pusat khidmat kita, saya ada staff  lima dan enam orang di Cheka dan di Parlimen Kubang Kerian yang membantu urusan kawasan.

“Yang penting, saya boleh turun kawasan bertemu rakyat. Kita santuni pengundi kita, ziarah pengundi dalam kawasan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semasa Muktamar Pas ke-70 di Kerdau hari ini.

Tuan Ibrahim juga mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri melantik Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan yang telah dimenangi Pas dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Lantikan tersebut dilihat memberi peruntukan yang besar kepada penyelaras DUN namun tidak memperuntukan sebarang peruntukan kepada adun kawasan diwakili parti itu.

“Bila kita (Pas) sudah menang kenapa perlu ada Penyelaras DUN? Ya, itu hak dia (kerajaan negeri) nak lantik tapi peruntukan tak diberi kepada kami tapi beri kepada Penyelaras DUN.

“Setakat ini, kita ada tangung bulanan kepada rakyat memerlukan, kita hantar bakul makanan setiap bulan kerana mereka daif walaupun dapat bantuan daripada JKM tapi tak cukup,” tambahnya.

Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, pihaknya berusaha menyantuni masyarakat di DUN Cheka dan melihat reaksi penerimaan yang baik dan positif.

Selain menziarah pesakit di hospital, katanya, beliau menyertai aktiviti belia serta pemuda dan melawat kampung- kampung termasuk projek pertanian penduduk.

Beliau juga menyelesaikan dan membawa isu-isu yang disuarakan oleh penduduk kampung seperti isu jalan dan sebagainya.

“Servis kita buat laksana sebaik mungkin. Tak betul kalau kata saya tak turun, memang jadual saya turun, ikut keadaan masa. Musim Parlimen panjang dalam dua bulan, jadi saya turun hujung minggu Jumaat, Sabtu dan Ahad. Saya akan turun Kelantan ke Cheka satu jalan sahaja. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Muktamar Pas: Gelanggang dibuka, kecam keganasan Israel

Pemilihan Pahang tuan rumah muktamar selepas PN dapat lonjakan kepercayaan PRU15

Pas beri kuasa autonomi kepada kepimpinan Sabah, Sarawak

Buang stigma bukan Melayu adalah pengundi DAP, PH – Afnan

Buang stigma bukan Melayu adalah pengundi DAP, PH – Afnan

Dalam menyerang DAP, kena jaga hati rakan bukan Islam – Firdaus