Hishamuddin (tengah) bersama mangsa pelaburan emas membabitkan kerugian RM1.63 juta tampil menyampaikan aduan kepada BNM Pulau Pinang agar tindakan diambil terhadap syarikat serta individu berkaitan.

GEORGE TOWN – Seorang pemilik kedai perabot terpaksa menutup perniagaannya selain menanggung bebanan membayar pinjaman bank berjumlah RM500,000 akibat terpedaya dengan penipuan pelaburan emas di negeri ini.

Lelaki yang ingin dikenali sebagai Yap, 40, berkata, kehidupannya berubah menjadi tragedi selepas terjerat dengan penipuan pelaburan dalam pasaran emas pada November tahun lalu.

“Saya buat pinjaman bank RM500,000 untuk pelaburan emas yang menjanjikan pulangan lima hingga 10 peratus.

Yap.

“Bagaimanapun, saya hanya dapat pulangan berjumlah RM50,000 sehingga Februari lalu sebelum individu yang mendakwa menjalankan pelaburan itu menghilangkan diri tanpa sebarang penjelasan termasuk gagal membayar pulang serta wang yang didepositkan.

“Impak penipuan itu menyebabkan saya terpaksa tutup perniagaan perabot yang diusahakan sejak bertahun lalu serta menanggung bebanan membayar pinjaman bank berjumlah lebih RM1,000 setiap bulan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Yap antara 13 mangsa yang membuat aduan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan emas melibatkan kerugian berjumlah RM1.63 juta.

Seorang lagi mangsa yang ingin dikenali sebagai Tan, 48, berkata, mereka tiga sekeluarga mengalami kerugian RM300,000 akibat diperdaya individu sama.

Tan.

“Emak, saya serta adik percaya akan lelaki yang diperkenalkan oleh kenalan dengan harapan mampu menjana pendapatan menerusi pelaburan emas tersebut.

“Kami hanya dapat pulangan RM20,000 dalam tempoh dua bulan wang deposit diberikan sebelum lelaki tersebut menghilangkan diri tanpa sebarang berita sehingga hari ini.

“Sedar akan diperdaya kami membuat laporan polis pada Ogos lalu agar tindakan lanjut diambil pihak polis sekali gus memastikan tiada mangsa lain menerima nasib seperti kami,” katanya.

Tambah Tan, dia berharap pihak berkuasa mengambil tindakan susulan yang mana ada antara mangsa sindiket ini merupakan pesakit kanser yang memerlukan wang untuk rawatan.

Sementara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, hasil siasatan MHO mendapati syarikat yang digunakan dua individu terbabit tidak mempunyai lesen atau kelulusan dari pihak berkuasa untuk menerima deposit pelaburan daripada orang awam, apatah lagi mengendalikan skim pelaburan emas.

Hishamuddin.

“Sehubungan itu, kita menggesa BNM untuk menjalankan siasatan penuh di bawah Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan mengemukakan pertuduhan jenayah terhadap individu-individu serta syarikat yang terlibat.

“Tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan kes ini menjadi pengajaran kepada pihak lain agar tidak memperdaya rakyat serta mengelakkan penipuan serupa pada masa hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette