Gambar hiasan

COLOMBO – Seorang lelaki Itali dan anaknya didenda 60 juta rupee Sri Lanka (AS$200,000) kerana cuba menyeludup ratusan serangga endemik – termasuk 92 spesies rama-rama keluar dari taman safari.

Renjer di Taman Negara Yala menahan Luigi Ferrari, 68, dan anak lelakinya Mattia yang berusia 28 tahun pada 8 Mei tahun ini selepas mereka ditemui bersama balang yang mengandungi serangga itu.

Lelaki itu telah memikat serangga itu dengan penarik haiwan dan merancang menggunakan kantung lilin untuk mengawetnya secara kimia, menurut siasatan yang dijalankan.

Mereka telah disabitkan pada awal September kerana memungut, memiliki dan mengangkut serangga secara haram, dan dikenakan denda tertinggi bagi jenayah hidupan liar di negara ini.

Salah seorang renjer taman, K Sujeewa Nishantha berkata, kejadian itu dimaklumkan oleh pemandu jip safari mengenai sebuah ‘kereta yang mencurigakan’ yang diletakkan di sepanjang jalan, dan dua lelaki di dalamnya telah meneroka ke dalam hutan dengan jaring serangga.

Renjer mengesan kereta itu dan menemui ratusan balang yang mengandungi serangga di dalam bagasinya.

“Semua serangga telah mati apabila kami menemuinya. Mereka memasukkan bahan kimia ke dalam botol. Terdapat lebih daripada tiga ratus haiwan” ” kata Nishantha.

Lelaki itu pada mulanya dikenakan 810 pertuduhan, tetapi kemudiannya dikurangkan kepada 304.

Mereka boleh dikenakan dua tahun penjara jika gagal membayar denda pada 24 September.

Laporan berita Itali mengatakan lelaki itu sedang bercuti di Sri Lanka pada masa itu dan telah ditahan di negara itu sejak kejadian tersebut.

Taman Negara Yala, yang terletak di tenggara negara, merupakan salah satu taman hidupan liar paling popular di Sri Lanka, menempatkan kepekatan tinggi harimau bintang, gajah dan kerbau, antara haiwan lain. – Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here