Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng hadir bagi perbicaraan saman terhadap bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 15 JULAI 2024

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bertindak menyaman bekas Exco negeri itu, Dr Afif Bahardin berhubung saman fitnah terhadapnya.

Difahamkan, Dr Afif yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan didakwa mengeluarkan kenyataan memfitnah Guan Eng kerana gagal memperuntukkan RM20 juta kepada Majlis Bumiputera Pulau Pinang (MBPP) ketika menjadi menteri kewangan antara tahun 2018 hingga 2020.

Pada 6 September lepas, Guan Eng yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan melalui firma Tetuan SN. Nair & Partners telah memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya (PJ).

Mahkamah Sesyen PJ kemudian telah memerintahkan Afif supaya memfailkan kenyataan pembelaannya sebelum 24 September dan Guan Eng jawapan pembelaan sebelum 8 Oktober depan.

Mahkamah juga telah memerintahkan kedua-dua pihak memfailkan sebarang permohonan interlokutori (permohonan sebelum bicara penuh) sebelum 22 Oktober ini.

Dr Afif Bahardin

Afif sebelum ini merupakan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar & Kesihatan Pulau Pinang dari 2013 hingga 2020 pernah berkhidmat dibawah Guan Eng dan kemudian Ketua Menteri Pulau Pinang kini, Chow Kon Yeow.

Beliau didakwa telah mengeluarkan kenyataan fitnah itu ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mendakwa kenyataan Afif itu telah menggambarkan dirinya sebagai seorang bersifat perkauman serta tidak peduli rasis kebajikan Bumiputera di Pulau Pinang.

Sebelum ini, Guan Eng pernah menuntut Afif untuk membuat permohonan maaf serta membayar pampasan namun tidak mendapat maklumbalas.

Beliau telah memohon untuk pelbagai ganti rugi, antaranya ganti rugi am, ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk, dan ganti rugi teladan yang tidak dipastikan nilainya. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here