Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin

KUALA LUMPUR – Isu yang melibatkan dakwaan rumah amal sebuah syarikat, Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) telah lama dibentangkan kepada pelbagai penguat kuasa agama termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) namun tidak diberi perhatian pihak sewajarnya.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr Maza mendedahkan, pihak yang mengkaji isu GISBH telah berusaha bertahun lamanya namun belum ada tindakan diambil.

“Mungkin disebabkan kegagalan itu, pihak berkenaan telah membuat keputusan untuk bentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.

“Isu ini mungkin tidak dikemukakan kerana beberapa sebab termasuk keengganan mengambil risiko atau mereka melihat isu ini sebagai sesuatu yang tidak besar atau mempunyai kepercayaan kepada kumpulan itu,” katanya dalam hantaran video merujuk kepada siri kuliah mingguan di Masjid Alwi Kangar malam tadi.

Dalam hantaran video yang dimuatnaik di laman TikTok @promediatajdidofficial itu, Maza berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan yang memintanya untuk mengulas perkembangan isu GISBH.

“Kekarutan syarikat itu juga harus dihapuskan segera dan kita harus bertegas bahawa kontroversi ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan ajaran Islam.

“Kami berasa bertanggungjawab kerana ini adalah perkara yang sangat penting. Saya khuatir jika ada mereka terutamanya yang bukan Islam menganggap ini adalah ajaran Islam sebenar kerana mereka tiada maklumat cukup tentang Islam,” ujarnya.

Dr. Maza turut memuji tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ke atas isu berkenaan.

“Kami (dia dan Razarudin) ada berbual tentang isu ini dan langkah yang beliau ambil amat kami puji. Apa yang saya sebut itu baru sedikit, pihak polis telah dedahkan lebih banyak,” tambahnya.

Sebelum ini, GISBH terlibat dalam kontroversi mengenai eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja selepas 20 premis yang dikaitkan dengan syarikat itu yang berfungsi sebagai pusat jagaan dan rumah amal diserbu oleh polis pada awal pagi Selasa.

Dalam serbuan tersebut, polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun, serta menahan 171 individu, termasuk ustaz yang menguruskan premis-premis tersebut untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here