Keselamatan pesakit adalah menjadi keutamaan kepada doktor.

RAMAI pesakit mungkin belum memahami bidang kepakaran perubatan bius. Apakah skop kerja dan tanggungjawab doktor bius? Doktor bius, yang juga dikenali sebagai doktor anestesia adalah pakar perubatan yang memberi rawatan bius kepada pesakit yang perlu menjalani pembedahan, ibu mengandung yang sedang dalam proses bersalin, dan rawatan kepada pesakit yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU). Kebanyakan rawatan yang diberikan oleh doktor bius adalah kompleks dan seringkali melibatkan pelbagai ubat-ubatan.

Oleh itu, mengetahui dan memahami sejarah perubatan pesakit dan peranan pesakit itu sendiri dalam memaklumkannya secara jujur dan telus kepada doktor bius adalah sangat penting. Ini dapat membantu doktor bius membuat rumusan penyakit dengan tepat dan seterusnya dapat merancang dan memberikan rawatan yang sesuai dengan selamat. Ia juga dapat mengelakkan atau mengurangkan komplikasi yang tidak diingini berlaku kepada pesakit.

Untuk pengetahuan pembaca, semua doktor bius juga perlu berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM), justeru mereka terikat kepada kod dan garis panduan etika yang dikeluarkan oleh pihak MPM seperti Good Medical Practice dan Code of Professional Conduct. Mereka juga bertanggungjawab untuk menjaga kerahsiaan pesakit, dan segala sejarah perubatan yang diberikan oleh pesakit adalah sulit.

Dengan pengetahuan ini, marilah kita mengambil maklum mengenai beberapa maklumat penting yang pesakit perlu memberitahu kepada doktor bius:

A) Sejarah Perubatan:
1. Penyakit kronik yang dialami.
2. Ubat-ubatan yang sedang diambil, termasuk dos dan kekerapan.
3. Alahan terhadap ubat atau bahan tertentu. (contoh : latex, iodine)
4. Sejarah pembedahan dan pembiusan.

B) Sejarah sosial:
1. Sejarah merokok/vape.
2. Pengambilan alkohol atau dadah.
3. Status kehamilan/penyusuan bayi (jika berkaitan).
4. Sejarah mabuk laut/darat. (motion sickness)

Terdapat beberapa komplikasi dan kecemasan khusus yang boleh berlaku dari segi bius. Contohnya adalah seperti kesukaran semasa proses memasukkan tiub pernafasan (intubasi), kesukaran semasa memberi bius separuh badan (spinal anestesia/epidural), mual dan muntah selepas pembedahan, penyakit Malignant Hyperthermia, dan lain-lain. Jika krisis seperti ini pernah berlaku, ia adalah sangat penting untuk dimaklumkan oleh pesakit sebelum menjalani rawatan kerana kecemasan sebegini mungkin boleh berulang dan ianya adalah sangat berbahaya.

Berikut adalah beberapa komplikasi lain yang boleh dielakkan jika maklumat yang disampaikan oleh pesakit kepada doktor bius adalah tepat:

1. Reaksi alahan
Pesakit yang tidak memaklumkan sejarah alahan terhadap ubat atau bahan tertentu boleh menghadapi risiko reaksi alahan yang lebih serius apabila terdedah kepada ubat atau bahan tersebut sekali lagi. Ubat-ubatan seperti antibiotik, ubat tahan sakit, ubat bius dan bahan yang digunakan semasa prosedur atau pembedahan dijalankan boleh membawa risiko alahan kepada segolongan pesakit.

2. Tindak balas ubat-ubatan
Pesakit perlu memberitahu doktor bius tentang ubat-ubatan yang sedang diambil, termasuk suplemen, ubat tradisional dan ubat yang tidak dipreskripsi oleh doktor. Maklumat ini penting untuk membantu mengelakkan tindak balas ubat yang tidak diingini. Ubat yang diambil boleh bertindak balas dengan ubat lain (cross reaction), termasuk ubat pembiusan, atau dengan tubuh anda sendiri dengan cara yang tidak dijangka. Ini boleh menyebabkan ubat tersebut menjadi kurang berkesan atau mungkin membahayakan kesihatan dan nyawa pesakit.

3. Kecemasan/krisis semasa pembedahan
Sejarah perubatan yang tidak lengkap boleh mengakibatkan doktor bius merancang kaedah pembiusan yang tidak atau kurang sesuai untuk pesakit. Doktor bius memerlukan maklumat yang tepat untuk memilih kaedah dan ubat bius yang sesuai serta merancang cara mengendalikan krisis yang mungkin berlaku dengan cepat dan berkesan.

4. Kemerosotan penyakit kronik
Pesakit yang mempunyai penyakit kronik seperti masalah jantung, buah pinggang, hati, kencing manis, tekanan darah tinggi, lelah (asma), sawan, dan lain-lain perlu memaklumkan sejarah perubatan mereka yang terkini. Jika boleh, ubat-ubatan yang terkini boleh disenaraikan atau dibawa bersama ke hospital. Ini membantu doktor bius untuk mengambil langkah-langkah tambahan jika perlu, dan mengelakkan daripada menggunakan ubat yang boleh merosotkan fungsi organ yang telah pun terjejas terutamanya buah pinggang, hati, dan jantung.

Keselamatan pesakit adalah menjadi keutamaan kepada doktor bius, dan rawatan yang berkesan bukan sahaja bergantung kepada prosedur yang dilakukan dan ubatan yang diberikan. Malah, ia juga berasaskan kepercayaan pesakit terhadap doktor. Doktor bius perlu menggunakan penilaian profesional mereka dan perlu bertanya soalan dengan sangat terperinci ataupun meminta penjelasan lebih mendalam sekiranya mereka mempunyai keraguan mengenai maklumat yang diberikan ole pesakit.

Ketelusan antara pesakit dan doktor bius mengenai sejarah perubatan pesakit akan memastikan keselamatan dan keberhasilan rawatan. Daripada pihak doktor bius, etika kerja yang profesional dan prihatin adalah penting untuk memperoleh kepercayaan ini dari pesakit. Sukacita ingin diingatkan kepada para pesakit bahawa kesihatan adalah tanggungjwab bersama kedua-dua pihak, pesakit dan doktor. Justeru itu, marilah kita bekerjasama supaya pesakit boleh menjalani pembedahan dan menerima rawatan yang selamat dan berkesan.

 Oleh: Dr. Vimal Varma
Pensyarah & Pakar Perubatan,
Jabatan Anestesiologi & Rawatan Intensif,
Fakulti Perubatan,
Universiti Teknologi Mara (Uitm),
Kampus Sungai Buloh.

Dr. Mark Tan Kian Min
Pensyarah,
Jabatan Etika & Undang-undang Perubatan,
Fakulti Perubatan,
Universiti Teknologi Mara (Uitm),
Kampus Sungai Buloh.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast