Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin (kanan) dalam Majlis Perasmian Tiket Integrasi di Balai Ketibaan KLIA, di sini, pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyasarkan peningkatan jumlah penumpang sebanyak 1.25 peratus bersamaan dengan 1.25 juta orang untuk tiket integrasi dalam tempoh setahun bermula hari ini.

Tiket integrasi itu kolaborasi antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Express Rail Link (ERL) Sdn. Bhd.

Pelancarannya bertujuan untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam terutama perkhidmatan rel dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, pihaknya akan memberikan diskaun sebanyak RM5 (kecuali untuk warga emas dan OKU) bermula hari ini sehingga 19 September depan.

“Kami berharap inisiatif ini juga dapat memperkasakan lagi sektor pelancongan dengan memudahkan akses pelancong ke pelbagai destinasi menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Tiket Integrasi ERL dan KTMB di Balai Ketibaan KLIA Ekspres, KL Sentral hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor berkata, pelaksanaan transaksi tanpa tunai  dapat memberikan perkhidmatan lebih cepat dan efisien untuk kemudahan pengguna.

“Sejak pelaksanaan cashless, jualan tiket telah mencapai tahap 99.85 peratus dan ini jelas menunjukkan penerimaan positif penumpang terhadap perkhidmatan ini,” tambahnya.

Buat masa ini, kerjasama itu akan meliputi lima stesen KTMB yang mempunyai permintaan tertinggi iaitu Alor Setar, Sungai Petani, Butterworth, Bukit Mertajam dan Ipoh.

“Bagaimanapun, kami berharap akan dapat memasukkan lebih banyak lagi stesen KTMB dalam penjualan tiket integrasi seperti Pulau Sebang (Melaka), Segamat, Gemas dan Johor Bahru,” kata Mohd Rani.

Pembelian tiket integrasi boleh dibuat menerusi sistem  KTMB Integrated Ticketing System (KITS) serta laman sesawang ERL yang sudah boleh diakses bermula 19 Julai lepas.

Kedua-dua pengendali rel akan terus memantau dan menilai hasil pelaksanaan inisiatif berkenaan untuk merangka strategi penambahbaikan perkhidmatan supaya konsisten menjadi pilihan utama masyrakat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here