Seorang pegawai imigresen menukar pengakuannya kepada bersalah bagi kesemua lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,830 pada enam tahun lalu.

KUANTAN – Seorang pegawai imigresen menukar pengakuannya kepada bersalah bagi semua lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,830 pada enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Reza Husain, 43, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim, Sazlina Safie ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan di sini hari ini.

Mohd. Reza, Pegawai Imigresen Gred KP19 yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang didakwa menerima wang berjumlah RM1,830 daripada pengusaha pusat hiburan dan pusat refleksologi di daerah Temerloh sebagai balasan percepat urusan permit pekerja asing.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 20 Jun 2018 sehingga 21 Jun 2020 dan menerima antara RM230 sehingga RM500 melalui pindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun CIMB milik isterinya dan akaun Maybank miliknya.

Bagi kesalahan tersebut, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd Zamry, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Rusnizam Abdullah.

Dalam hujahannya, Mohd Rusnizam memohon hakim mengenakan jumlah denda yang munasabah berikutan anak guamnya yang merupakan bapa kepada dua anak itu turut menanggung seorang isteri, ibu dan seorang adik orang kurang upaya yang berusia 30 tahun.

Hakim kemudian mengenakan denda sebanyak RM1,200 bagi setiap pertuduhan.

Tertuduh boleh dipenjara enam bulan jika gagal membayar jumlah tersebut.

Terdahulu, pada 9 Mei lalu, media melaporkan seorang pegawai imigresen mengaku tidak bersalah di atas lima pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,830.00 – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast