Khaw Kok Chin bersama KP KL Datuk Rusdi Mohd Isa menunjukkan rampasan pelbagai dadah bernilai RM5.88 juta dalam sidang media di IPK KL pada Jumaat hari ini.

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran dadah lumpuh dengan tertangkap tiga ahlinya serta rampasan pelbagai dadah berjumlah RM5.88 juta dalam dua serbuan di ibu negara, kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan pertama pada jam 4.50 petang suspek pertama lelaki berusia 30 tahun ditahan dalam sebuah kereta Proton Saga di kondominium di ibu negara.

Katanya, pemeriksaan terhadap suspek yang berperanan sebagai penjaga setor menjumpai dadah jenis methamphetamine atau syabu seberat 182.9 gram.

“Berpandukan arah suspek pertama itu pasukan serbuan menggempur sebuah kondominium sama menggunakan kunci yang dirampas daripada suspek tersebut untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Kok Chin, pemeriksaan ke atas kondominium itu membawa kepada penangkapan suspek kedua berusia 33 tahun.

Jelasnya, lelaki itu berperanan sebagai runner (penghantar) yang dibayar upah sebanyak RM3,000 sebulan dan pemeriksaan di kediaman terbabit membawa kepada penemuan dadah syabu seberat 111.23 kilogram, ganja (29.06 kg), pil ekstasiĀ  7.51 kg) dan kristal MDA (6.07 kg).

“Susulan tangkapan dua suspek itu dan berpandukan maklumat mereka, pasukan kemudian meneruskan operasi dengan melakukan serbuan kedua di sebuah restoran yang terletak di Taman Mutiara di ibu negara kira-kira jam 5 petang hari yang sama.

“Hasilnya, pasukan serbuan menahan suspek ketiga iaitu lelaki tempatan berusia 30 tahun yang juga berperanan sebagai runner sindiket dengan upah RM3,000 sebulan.

“Siasatan lanjut polis mendapati suspek pertama (penjaga setor) sindiket berkenaan menerima upah RM5,000 untuk menjaga bekalan dadah.

Kok Chin berkata, modus operandi sindiket adalah menyewa kondominium dengan kadar bulanan lebih RM2,000 untuk menyimpan dan mengedar dadah yang diperolehi dari negara jiran di utara utara Semenanjug.

Katanya, sindiket terbabit aktif dalam kegiatan dadah sejak awal Januari 2024 dan dalang utama masih bebas.

Tambah beliau, pihaknya turut menyita wang tunai sebanyak RM750 dan dua buah kenderaan jenis Nissan Almera dan Proton Saga bernilai RM55,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan harta) 1988.

Jelasnya, kesemua suspek memiliki sembilan rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah dan kini direman selama seminggu hingga 18 September untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette