Sebahagian penagih dadah yang ditahan dalam operasi JSJN Selangor. - Gambar isan IPK Selangor.

KUALA LUMPUR – Kawasan belukar serta rumah kosong yang sekitar Kajang dan Klang dekat sini yang menjadi sarang pengedar dan penagih dadah telah digempur polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan dilaksanakan menerusi operasi Op Sarang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Selangor bermula dari 2 hingga 8 September lalu.

Hasil operasi berjaya menahan 21 lelaki yang terdiri daripada 16 warga tempatan dan lima warga Bangladesh berusia lingkungan 20 hingga 60-an.

“Siasatan awal polis mendapati salah seorang daripada suspek yang ditangkap itu disyaki memainkan peranan sebagai tokan dan sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hasil daripada operasi itu turut berjaya membawa pasukan polis merampas dadah jenis heroin dianggarkan seberat 53.82 gram, syabu (10.78 gram), ganja (2.65 gram) serta lima biji pil yaba yang kesemuanya dianggarkan berjumlah RM944.85.

Salah satu kawasan operasi JSJN Selangor di kawasann semak, belukar dan rumah kosong yang dijadikan sarang penagih dan pengedar dadah di Selangor. – Gambar ihsan IPK Selangor.

Tambah Hussein, para penagih-penagih yang ditahan didapati melepaskan gian di kawasan semak, belukar, tangga atau rumah kosong.

“Siasatan polis juga mendapati penagih-penagih terbabit akan masuk dahulu ke ‘sarang’ (belukar, semak dan rumah kosong) sementara menunggu tokan datang menjual dadah kepada mereka,” ujarnya.

Kesemua suspek didapati positif dadah hasil ujian saringan air kencing dan mereka disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

“Op Sarang ini merupakan salah satu inisiatif yang diambil polis dalam terus membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan yang telah dikenal pasti sebagai sarang pengedar dan sarang penagih sekitar Selangor,” tegasnya. – MalaysiaGazette