TEMERLOH – Pas akan membentangkan enam usul semasa sesi Muktamar Pas ke- 70 esok.
Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, usul tersebut merupakan inti pati penting pada muktamar ini meliputi isu antarabangsa, politik dan ekonomi.
”Esok kita akan ada sesi pembentangan usul-usul yang elemen penting setiap muktamar, selain kita bincang soal teknikal.
”Tak boleh dedahkan hari ini cukup untuk saya sebut usul esok agenda penting dan ada sedikit kejutan untuk media dan Malaysia yang ikuti perkembangan parti kami.
”Harap media dapat pick-up usul esok. Enam usul, kita bentangkan dalam masa dua jam sebelum ikuti ucapan penangguhan dan pembentangan usul pindaan perlembagaan,” katanya pada sidang media Muktamar Pas ke-70 hari ini.
Dalam perkembangan sama, usul menerima ahli bukan Islam dan ahli bersekutu akan dibentangkan dalam usul pindaan perlembagaan yang dijadualkan hari ini.
Muktamar Tahunan Pas kali ke-70, diadakan di Pusat Tarbiah Pas Negeri Pahang di Kerdau, dekat Temerloh pada 11 hingga 15 September ini.
Ini merupakan kali kedua Pahang menjadi tuan rumah dan lebih 5,000 pewakilan dari seluruh negara dijangka menghadiri muktamar itu. – MalaysiaGazette