Pembahas Negeri Perlis, Mohd Saifizi Saidon berucap semasa Usul Dan perbahasan Dasar Muktamar ketika tinjauan MalaysiaGazette di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2024.

TEMERLOH – Pembahas Pas dari Perlis sedih apabila melihat kualiti pemimpin parti itu semakin merosot dan sudah tidak sama seperti akhlak pemimpin-pemimpin terdahulu.

Mohd Saifizi Saidon ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas berkata, ada banyak kesilapan yang dilakukan beberapa pemimpin Pas namun tidak diambil tindakan.

Antaranya, ada pemimpin Pas yang dilihat bersalaman dengan wanita bukan muhrim berkali-kali.

Malah terdapat juga pemimpin Pas yang berkaraoke namun masih dipertahankan Dewan Ulama.

“Dalam sejarah Pas, tokoh seperti (ahli politik lama Pas), Hashim Gera digantung keahlian hanya kerana berjoget. Ini menunjuk betapa penting menjaga kualiti pemimpin sebagai syarat kemenangan.

“Namun, pada hari ini Pas semakin jauh dari asas tersebut. Terdapat pemimpin yang berkaraoke (tetapi masih) dipertahankan ulama Pas dan lebih lagi menyedihkan ada pemimpin yang bersalam dengan wanita tetapi tidak dikenakan tindakan,” katanya.

Dalam pada itu, Saifizi berkata, isu salah guna kuasa yang terpalit dengan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan anaknya telah memberi kesan buruk kepada Pas.

Lebih malang lagi kata beliau, sehingga hari ini, Pas Perlis langsung tidak menerima sebarang laporan atau perbincangan mengenai isu tersebut.

“Sama ada daripada badan perhubungan Pas Perlis atau Pas pusat…di mana kesungguhan kita perjuangkan integriti dan amanah.

“Harapan besar Pas Perlis agar kerajaan sepenggal tidak berulang,” ujarnya.

Untuk rekod, pada 23 Mei lalu, anak lelaki Mohd Shukri, Syafeeq Shukri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu lebih RM19,000 untuk menyediakan minuman bagi kegunaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada Februari lalu. – MalaysiaGazette

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here