Muhyiddin (tengah) bersama penyokong PN membawa sepanduk 'dijamin halal' semasa mengiringi calon PN bagi PRK DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail,Kluang, hari ini

KLUANG – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan sepanduk ‘dijamin halal’ yang dibawa penyokong gabungan itu di luar pusat penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini, tidak menyentuh isu bangsa, raja dan agama (3R).

Jelas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, sepanduk berkenaan mempunyai maksud tersendiri yangs tidak menyentuh isu 3R.

Bagaimanapun, terpulang kepada pemahaman masing-masing mengenai sepanduk ‘dijamin halal’ itu, katanya.

“Itu sengaja kita bawa. Terserah kepada mereka untuk faham apa maksud di sebalik sepanduk itu. Tiada apa- apa ia cuma sepanduk biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang menjawab soalan wartawan mengenai sepanduk berkenaan selepas penamaan calon PRK DUN Mahkota di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini hari ini.

Sebelum itu, penyokong PN yang mengiringi calon mereka, Mohamad Haizan Jaafar atau ‘coach Haizan’ berkumpul di luar pusat penamaan calon dengan membawa papan tanda tertera perkataan ‘dijamin’ bersama logo halal.

Isu pensijilan halal menjadi polemik selepas media sebelum ini susulan kenyataan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menyatakan pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela untuk membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan dilaksanakan secara paksa.

Kenyataan itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

Rabu lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar melakukan kajian dan menyediakan laporan lengkap berhubung isu pensijilan halal.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pula berkata, Perdana Menteri mahu hasil kajian dan laporan lengkap berhubung cadangan mewajibkan pensijilan halal untuk setiap premis makanan itu dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here