KUALA LUMPUR – Serbuan ke atas 20 rumah amal dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) menerusi Op Global adalah hasil risikan dan siasatan selama enam bulan oleh pihak polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, beliau juga telah bertemu dengan wakil Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas) pada enam bulan lalu.
“Kita telah menyiasat syarikat itu sejak 2011 susulan beberapa laporan polis, sebelum dakwaan terhadap syarikat tersebut tular di media sosial baru-baru ini.
“Mereka turut memberikan maklumat awal yang membolehkan kami melihat balik satu laporan yang dibuat oleh bekas ahli syarikat itu dari Negeri Sembilan yang kemudiannya ditarik balik.
“Wanita itu kemudiannya membuat laporan baharu dan polis membuka siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah beliau, wanita terbabit telah memberikan ‘petunjuk’ yang boleh dipercayai untuk tindakan selanjutnya.
“Saya juga ingin menyeru individu yang pernah membuat laporan sebelum ini dan menarik balik berkaitan kes itu, supaya tampil bagi membantu siasatan.” jelasnya.
Pada Rabu lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun berjaya diselamatkan disyaki menjadi mangsa eksploitasi menerusi ‘Op Global’.
Hasil serbuan itu Razarudin mendedahkan, berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.
Seramai 10 daripada 402 kanak-kanak yang merupakan kanak-kanak autistik, Orang Kurang Upaya (OKU) dan sakit telah diserahkan di bawah selian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Razarudin dilaporkan berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian. – MalaysiaGazette