TEMERLOH – Dewan Ulama Pas menafikan kepimpinan ulama parti itu mempertahankan sikap seorang pemimpin Pas yang sering melakukan aktiviti karaoke.
Menjawab kritikan perwakilan ketika perbahasan pada Muktamar Tahunan Pas ke-70, Ketuanya, Datuk Ahmad Yahaya berkata, pihaknya tidak mempertahankan pemimpin secara membuta tuli.
“Kalau kata Dewan Ulama Pas mempertahankan pemimpin berkaraoke, Kedah dipanggil ‘ashabul karaoke’. Kita dah faham nak tuju pada menteri besar Kedahlah tu, dikata saya pertahankan kawan-kawan, saya lama berkawan dengan Menteri Besar Kedah.
“Kita kenal hati jiwa, beliau sentiasa berusaha lebih-lebih lagi apabila diberi amanah jaga negeri, nak menyantuni rakyat sebab itu di mana saja nak gambar bersedia, ajak selfie ajak menyanyi pun menteri besar bersedia.
“Dewan Ulama perhati dan tengok, mana bukan perkara mungkar, mungkar adalah perkara yang disepakati dosa, perbuatan yang ditegah selagi tak disepakati, Dewan Ulama Pas tak adalah sampai pertahan cuma (kena) adillah,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulung pada muktamar itu di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.
Semalam, pembahas Pas dari Perlis melahirkan rasa sedih apabila melihat kualiti pemimpin parti itu semakin merosot dan sudah tidak sama seperti akhlak pemimpin-pemimpin terdahulu.
Mohd Saifizi Saidon ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas berkata, ada banyak kesilapan yang dilakukan beberapa pemimpin Pas namun, tidak diambil tindakan.
Beliau memberikan contoh, ada pemimpin Pas yang dilihat bersalaman dengan wanita bukan muhrim berkali-kali serta terdapat juga pemimpin parti itu yang berkaraoke namun masih dipertahankan Dewan Ulama.
Meskipun tidak menyebut sebarang nama, Mohd Saifizi dipercayai merujuk perkara itu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd Nor berhubung isu karaoke.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, aktiviti seperti menyanyi, bersukan dan sebagainya boleh dilakukan selagi tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Ujarnya, Sanusi juga menyambut apabila diminta membaca al-Quran dalam majlis perasmian Festival al-Quran.
“Bukan saja di padang bola, kabadi, apa saja yang diminta oleh rakyat selagi tidak bercanggah selagi tidak bercanggah dengan agama akan disambut.
“Saya nak gambarkan inilah sikap dan pendirian yang diambil Dewan Ulama, kita tidak mempertahakan secara membuta-tuli.
“Kita ada alasan nak beri peluang kepada pemimpin kita dekati semua pihak dan segmen-segmen masyarakat,” tambahnya.
Menurut Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, tidak ramai orang bersedia kalau dijemput untuk berkaraoke.
“Saya sendiri kalau dijemput berkaraoke saya tak boleh, bukan saja nak orang rasa sedap dengar lagu kita menyanyi, kita sendiri dengar pun tak sedap,” katanya. – MalaysiaGazette
Artkel berkaitan:-
Pembahas sedih, pemimpin Pas berkaraoke dipertahan Dewan Ulama