Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-78 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2024.

SHAH ALAM – “Masa untuk menunding jari dan cuba menjadikan MIC sebagai ‘kambing hitam’ sudah berlalu,” tegas Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.

Jelasnya, MIC yang sudah berusia 78 tahun itu sudah banyak berjasa terhadap kemajuan kaum India khususnya dan rakyat Malaysia amnya.

Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, parti masyarakat India itu sering berdepan pelbagai fitnah sehingga ia tersungkur dalam beberapa pilihan raya sejak 2008.

“Kita tidak akan sesekali membiarkan perkara seumpama itu terjadi lagi,” katanya pada Perhimpunan Agung MIC ke-78 di sini hari ini.

Perhimpunan yang dihadiri 2,500 perwakilan itu turut dihadiri Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga mantan Yang Dipertua Dewan Negara berkata, ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah, terlalu banyak pencapaian luar biasa yang telah dicapai dan ia masih lagi dinikmati oleh semua rakyat pada masa ini.

“Apa yang anda lihat hari ini, semuanya adalah hasil usaha BN selama puluhan tahun. Rata-rata pencapaian, kepentingan serta kebajikan masyarakat India hari ini sebenarnya adalah hasil usaha MIC untuk sekian lama,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, MIC sudah berikrar akan memberikan mandat lima tahun untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri untuk menghabiskan penggal beliau.

“Kami akan memberi sokongan kepadanya selama lima tahun, dan selepas itu kami akan minta Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berunding semula,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MIC juga berikrar akan terus membantu Kerajaan Perpaduan menjadi penghubung dalam kerjasama ekonomi antara Malaysia dan India. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here