Ihsan Foto : PDRM

MARANG – Seorang penunggang motosikal maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan yang melibatkan enam buah kenderaan di Kilometer (KM) 23 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di Kampung Kelulut, di sini, semalam.

Dalam nahas  jam 8 malam itu, mangsa yang terkorban, Abdul Salim Mohamed Hashim, 58, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian yang berpunca daripada kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Ts Mohd Razman Setapa berkata, kemalangan itu melibatkan dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR, dua kereta Perodua Myvi, sebuah Proton Saga dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Siasatan awal mendapati kemalangan bermula apabila Toyota Hilux yang diparkir di sebuah kedai makan ingin mengundur untuk keluar.

“Dalam masa yang sama, kereta Proton Saga yang datang dari arah Dungun menuju ke Kuala Terengganu itu tidak sempat mengelak lalu merempuh belakang Toyota Hilux,” katanya.

Rempuhan yang terjadi itu menyebabkan Proton Saga berkenaan terbabas lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar dua motosikal Yamaha Y15ZR serta dua Perodua Myvi yang datang dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

“Salah seorang penunggang motosikal terkorban dan mayatnya telah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

“Seorang lagi penunggang motosikal berusia 40 tahun dan pemandu salah sebuah Perodua Myvi, wanita berusia 22 tahun pula mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital yang sama untuk menerima rawatan lanjut,” tambahnya.

Kes akan disiasat di bawah Seskyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Mereka yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Syafiq Amsyar Zaharuddin di talian 09-6182222 untuk membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here