Onn Hafiz dan Syed Hussein beramah mesra dengan anak muda dalam progam Sembang Santai Anak Muda Bersama MB di Ngepot Kabin, Kluang, hari ini.

KLUANG – Syed Hussien Syed Abdullah, 40, memaklumkan pemilihan beliau sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota adalah satu penghormatan untuk orang muda.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, pemilihan itu juga boleh dianggap pengiktirafan untuk golongan tersebut bagi memainkan peranan penting apabila dipilih nanti.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri sudah menyediakan pelbagai pakej untuk anak muda dalam menjaga kebajikan, kepentingan dan keperluan anak muda.

“(Kali ini) tampil anak muda sekali lagi (sebagai calon PRK DUN Mahkota), ini daya usaha Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang iktiraf anak muda.

“Maka saya menyeru anak muda supaya pulang mengundi untuk kawasan DUN Mahkota pada 20 September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap memperkenalkan diri semasa berkempen dalam program Sembang Santai Anak Muda Bersama MB di Ngepot Kabin, di sini, hari ini.

Turut hadir Onn Hafiz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri sedang merangka dan menyediakan pelbagai agenda untuk masa depan orang muda di Johor termasuk di daerah ini.

Antaranya kata beliau, banyak peluang yang boleh diambil golongan itu untuk meningkatkan ekonomi mereka khususnya dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan zon kewangan khas.

“Saya berunding dengan syarikat-syarikat untuk memastikan kita dapat tingkatkan ekonomi anak-anak muda Johor.

“Saya berjumpa dengan pelabur-pelabur agar diberikan peluang pekerjaan untuk anak-anak muda Johor termasuk di Kluang,” katanya.

Menteri Besar Johor itu berkata, banyak perkara yang sudah dilakukan kerajaan negeri di daerah ini antaranya menyediakan infrastruktur dan kompleks belia selain dalam sektor pendidikan.

Menurutnya, isu tekanan air rendah semasa Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini di beberapa kawasan di sini juga sudah diselesaikan.

Mengenai program itu, Onn Hafiz berkata, itu antara pendekatan dilakukan sebagai usaha meraih sokongan anak muda selepas menyedari mereka mampu penentu kemenangan bagi PRK DUN Mahkota.

Tambahnya, penerimaan belia terhadap Syed Hussein juga menunjukkan perkembangan positif, menambah keyakinan bahawa BN telah membuat pilihan tepat.

“BN buat keputusan bijak, bagi peluang kepada pemimpin-pemimpin muda untuk dijadikan calon. Saya yakin jika diberi peluang, Syed Hussien boleh berkhidmat dengan baik,” katanya.

Justeru, beliau menyeru golongan muda supaya mengundi calon BN dalam PRK DUN Mahkota nanti.

Golongan muda dilapor sebagai penentu pada PRK DUN Mahkota, selain faktor kesediaan calon dalam menyelesaikan permasalahan isu setempat dihadapi penduduk.

Kumpulan itu mendominasi jumlah pengundi iaitu lebih 52 peratus.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here