Mohamad Haizan (kanan) bertemu orang ramai semasa berkempen di Pasar Malam Taman Makmur, Kluang

KLUANG – Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar menyifatkan faktor usia bukan faktor untuk menghalang usaha berkhidmat sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat.

Jelas beliau yang berusia 61 tahun, ini kerana kemahuan dan keazaman untuk berkhidmat itu adalah lebih utama.

“Usia ini tidak penting, yang paling utama semangat untuk bantu rakyat di kawasan Mahkota.

“Saya akan turun berkempen dekati pengundi di setiap ceruk kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota selama 14 hari sehingga hari mengundi 28 September,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika demikian menjawab soalan mengenai segelintir pihak mempersoalkan usianya memandangkan lawannya dari Barisan Nasional (BN) lebih muda.

Mohamad Haizan berkata demikian selepas ditemui pemberita semasa turun berkempen dan hadir program Sambutan Maulidul Rasul di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu di sini hari ini.

Beliau akan bertemu calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota pada 28 September ini.

Katanya yang lebih dikenali sebagai ‘coach Haizan’ dalam kalangan penduduk setempat berkata, beliau kini sibuk dengan aktiviti berkempen yang masuk hari ketiga.

Sebagai bekas pemain bola sepak, beliau mengakui sudah terbiasa dengan jadual yang padat di padang di samping perlu kekal sihat dengan mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat.

Akui Mohamad Haizan sebagai calon buat pertama kali bagi PRK, tumpuan lebih perlu diberikan sepanjang kempen.

“Buat masa sekarang, antara padang bola sepak dan kempen PRK, saya rasa kempen PRK lebih menguji.

“Ini kerana saya bukan hanya berkempen tetapi turut menyelami suara hati rakyat. Ia dipermudahkan dengan pengalaman saya yang sudah biasa dengan masyarakat di Kluang,” katanya.

Menurutnya, beliau sebelum ini merupakan Ahli Majlis Perbandaran Kluang (2021-2022) dan masih lagi Penyelaras Kawasan Rukun Tetangga Zon Kluang banyak membantunya mendekati pendundi.

Dalam pada itu, Mohamad Haizan sempat berkongsi pasukan bola sepak kegemarannya iaitu Johor Darul Ta’zim dan Liverpool.

Ahli Jawatankuasa Bersatu Bahagian Kluang itu merupakan bekas pemain bola sepak Johor FA sejak 1982 dan pernah mewakili Johor FA di dalam kejohanan Piala Razak dan Piala Presiden ketika itu.

Beliau juga memiliki kelulusan Diploma Kecergasan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here