Calon Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar bercakap ketika ditemubual sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Mahkota, Kluang. Foto SADIQ SANI, 14 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Kerajaan Barisan Nasional (BN) disifatkan gagal menangani masalah banjir di beberapa kawasan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, di sini.

Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar berkata, ini kerana masalah itu sudah lama berlarutan malah sehingga kini terus membelenggu penduduk.

Beliau akui memang ada usaha dilakukan kerajaan terdahulu tetapi masalah itu masih tidak selesai.

“Penyebab banjir adalah kerana (projek) pembangunan. Banyak longkang air tak boleh lalu. Parit yang tersumbat dikorek, saluran dibetulkan dan selenggara dengan betul.

“Ada sungai yang besar tetapi di hujung jambatan (saliran) kecil, sampah tersumbat dan air sungai melimpah keluar,” katanya.

“Sekiranya diberi peluang dan menang PRK DUN  Mahkota, isu tersebut akan saya cuba diselesaikan,” kepada pemberita semasa turun berkempen dan hadir dalam program Sambtuan Maulidul Rasul di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu, di sini, hari ini.

Mohamad Haizan yang dikenali sebagai ‘coach Haizan’ dalam kalangan penduduk setempat akan bertemu dengan calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota pada 28 September ini.

Semalam, Syed Hussein dilaporkan berkata, beliau memberi jaminan akan mencari jalan menyelesaikan isu banjir walaupun kerajaan sudah melakukan beberapa usaha mengatasinya.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon PH, PN dan Warisan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here