Antara demontrasi penggunaan Kit Pertanian Bandar oleh NAFAS bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS, Serdang. Foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2024.

SERDANG – Satu rumah, satu tanaman menjadi objektif utama anak syarikat Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), NAFAS Agri Services Sdn. Bhd. dalam memperkenalkan Kit Pertanian Bandar.

Penolong Pengurus NAFAS Agri Services Sdn. Bhd. Abdul Khaliq Rahim berkata, produk keluaran syarikat itu bermatlamat bagi menggalakkan warga kota untuk bercucuk tanam di rumah masing-masing meskipun mempunyai kawasan yang terhad.

Dalam masa sama katanya, Kit Pertanian Bandar juga secara tidak langsung dapat membantu setiap keluarga menjimatkan perbelanjaan makanan harian dengan menghasilkan tanaman sendiri.

“Matlamat kita satu rumah, satu tanaman. Penanaman sayur-sayuran sendiri dapat membantu mengurangkan perbelanjaan bahan mentah setiap hari.

“Kalau di kampung, mereka boleh bercucuk tanam di belakang rumah namun bagi penduduk di bandar, mereka mempunyai kawasan yang sangat terhad, disebabkan itulah kami mewujudkan Kit Pertanian Bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas demonstrasi Kit Pertanian Bandar di Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024, semalam.

Abdul Khaliq menjelaskan, Kit Pertanian Bandar terdiri daripada peralatan asas menanam sayur yang mudah dan lengkap, selain dapat menarik anak-anak untuk melakukan aktiviti bercucuk tanam.

“Kalau budak-budak tengok ibu ayah bercucuk tanam boleh menarik mereka untuk mencuba,” tambah beliau lagi.

Menurut Abdul Khaliq, setiap Kit Pertanian Bandar yang dijual oleh Nafas Agri Services Sdn Bhd mempunyai tempat tanaman, tanah, benih dan baja keluaran Nafas sendiri yang berskala kecil.

“Dianggarkan kit ini boleh digunakan tiga kali setiap semaian,” katanya lagi.

Menawarkan lima jenis sayuran iaitu Dwarf Pak Choy, White Stem Pak Choy, Green Round Amaranth, Chinese Kale dan Lettuce Looseleaf, kit tersebut dijual pada harga RM40 menerusi ejen atau pembelian secara talian di platform Shopee
Bagaimanapun, pengunjung MAHA 2024 boleh membeli Kit Pertanian Bandar pada harga serendah RM35 di reruai NAFAS.

Selain Kit Pertanian Bandar, NAFAS yang buat sekian kalinya menyertai MAHA, turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik sempena penganjuran pameran agro terbesar di Malaysia itu.

Sejak 11 September lalu sehingga 22 September depan, NAFAS mengadakan pameran, jualan produk dan inovasi seperti produk makanan jenama Peladang, baja Peladang serta input pertanian dan jentera sempena MAHA 2024, di MAEPS Serdang.

Selain itu, pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti santai dan permainan interaktif di segmen-segmen penglibatan NAFAS.

Justeru, orang ramai diminta untuk tidak melepaskan peluang melawat reruai NAFAS yang terletak di segmen Agro Seed di Dewan A; MAHA Go Global (Hall C); Kingdom of Agrofood (Laman Tiba 1), Laman Padi, Laman Mekanisasi dan NAFAS Cube.

NAFAS juga membuka kaunter perkhidmatan Dana Peladang Kebangsaan di segmen Peladang Outlet – Dewan A, MAEPS, Serdang.

Manakala Di NAFAS Cube pula, pengunjung boleh menikmati hidangan di kafe yang disediakan, menjadikannya lokasi yang sempurna untuk berehat dan bersantai sepanjang pameran.

Orang ramai juga diingatkan untuk tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan memancing di NAFAS Cube. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here