Keadaan bas persiaran dua tingkat yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 273.5 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan di sini, awal pagi tadi.

IPOH – Tiga penumpang sebuah bas persiaran dua tingkat tersepit manakala 30 lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka melanggar pembahagi jalan di KM273.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 1.10 pagi seramai 20 anggota dan pegawai melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dibantu BBP Simpang Pulai, Meru Raya dan Tambun  digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi terdapat tiga orang mangsa yang duduk di tingkat bawah telah tersepit di antara kerusi penumpang dan mengalami kecederaan.

“Kita juga mendapati 30 orang mangsa yang berada di tingkat atas bas turut mengalami kecederaan ringan dan berjaya keluar sendiri.

“Ketua operasi kemudiannya melakukan size up dan mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) dengan mengarahkan anggota membantu mengeluarkan mangsa di tingkat bawah yang tersepit di antara kerusi dengan menarik pelaras kerusi dan mengeluarkan mangsa dengan menggunakan pengusung.

“Ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk dihantar ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, 31 mangsa lagi diberikan rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dihantar ke hospital dengan menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Tambun dan Meru Raya.

Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Saharudin Omar tamat sepenuhnya jam 2.45 pagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here