'Abang Bas' berpelukan dengan keluarganya sejurus wang jaminan RM40,000 dibayar di Kompleks Mahkamah Muar hari ini.

MUAR – Bapa kepada ‘Abang Bas’ merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang bantuan kewangan sehingga anaknya dapat dijamin sebanyak RM40,000.

Warga emas itu bersyukur kerana anaknya kembali ke pangkuan keluarga selepas berjaya memperoleh wang jaminan tersebut yang dibayar di mahkamah di sini hari ini.

“Kami orang kampung tidak tahu sangat prosedur mahkamah. Saya berdoa semoga dipermudahkan segala urusan anak saya (Abang Bas).

“Terima kasih kepada peguam, Ahmad Zaharil dan semua yang membantu daripada segi kewangan dan tenaga,” ujar bapa kepada ‘Abang Bas’ ketika ditemui pemberita.

Dia akan pantau anak bongsu daripada enam beradik itu sehingga kesnya di mahkamah selesai.

Pada masa sama, katanya, ramai pihak yang ingin membantu anaknya itu dengan menawarkan pekerjaan termasuk pemandu bas.

“Sekarang banyak tawaran pekerjaan yang diterima daripada pihak yang sanggup menolong. Ada yang tawar bekerja di syarikat, jadi pembantu malah ada juga sebagai pemandu bas,” katanya.

Sebelum itu, proses membayar ikat jamin dilakukan peguam probono, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar di mahkamah.

‘Abang Bas’ sebelum ini ditahan di Pusat Koreksional di sini sejak Selasa lalu selepas gagal membayar ikat jamin berjumlah RM40,000 yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Muar dan Batu Pahat.

Keseluruhan jumlah ikat jamin itu dikenakan membabitkan tiga pertuduhan antaranya mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017, Seksyen 15 (a) (iii) akta sama dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Pada Rabu lalu, keluarga ‘Abang Bas’ telah membuka tabung kutipan derma bagi membantu mengumpul dana untuk membayar wang jaminan tersebut.

Tabung derma menggunakan akaun bank milik kakaknya yang telah memuat naik hantaran dalam Facebook miliknya.

Wang jaminan tersebut berjaya dikumpul dalam tempoh tiga hari daripada rakyat Malaysia sebelum saluran sumbangan itu ditutup oleh kakaknya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here