Buku al-Rasm al-Ishari memanfaatkan isyarat kod tangan Quran, yang mana setiap huruf Rasm Uthmani diwakili melalui isyarat tangan, membolehkan murid berkomunikasi dan memahami bacaan Quran tanpa suara.

KUALA LUMPURPenyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melancarkan Buku al-Rasm al-Ishari: Pra Tilawah Quran Isyarat pertama sempena Majlis Perasmian Pesta Konvokesyen Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) kali ke-14 pada 22 Ogos 2024 baru-baru ini di Brunei.

Buku al-Rasm al-Ishari memanfaatkan isyarat kod tangan Quran, yang mana setiap huruf Rasm Uthmani diwakili melalui isyarat tangan, membolehkan murid berkomunikasi dan memahami bacaan Quran tanpa suara.
“Komuniti OKU Pendengaran (OP) khususnya Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di sekolah atau pelajar OP dewasa yang baru belajar didapati menghadapi kesukaran dan kekeliruan dalam mengenal pasti bentuk dan kedudukan huruf-huruf Quran (Rasm Uthmani) yang bersambung-sambung dalam satu kalimah,” kata Pengarah UMMI, Prof. Madya Dr. Norakyairee Mohd Raus.
“Buku ini telah melalui beberapa proses kajian saintifik oleh USIM dengan kerjasama Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Jakim yang telah menjalankan penilaian terhadap buku ini bersama komuniti OKU pendengaran daripada beberapa persatuan OKU pekak, Guru KAFA MBPK, Guru Pendidikan Khas (Pendengaran), penyelidik dan sukarelawan,” tambah beliau.
Menurut Norakyairee, lebih 40 naskah buku al-Rasm al-Ishari diedarkan kepada peserta kursus Asas Pengajaran Quran Isyarat dan Kursus Asas Pengajaran Quran Braille yang berlangsung di Dewan Kuliah Masjid Jame’ Asr Hassanil Bolkiah, Brunei.
Perasmian Pesta Konvokesyen UNISSA kali ke-14 telah disempurnakan oleh Pengiran Muda Mahkota, Pengiran Muda  Al-Muhtadee BillahSultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan baginda menurunkan tandatangan pada buku al-Rasm al-Ishari sebagai tanda penghargaan terhadap usaha yang dilakukan oleh USIM dan Yayasan FAQEH.
Naskhah tersebut juga dihadiahkan kepada Pengiran Muda Mahkota sebagai simbol komitmen dalam memperkasakan pendidikan Quran untuk komuniti OKU.
Inovasi ini diharapkan dapat menjadi pencetus kepada lebih banyak usaha untuk memastikan semua golongan, termasuk mereka yang berkeperluan khas, mendapat akses kepada pendidikan al-Quran yang inklusif dan berkualiti.
Inisiatif ini mendapat pengiktirafan setelah dibentangkan dan diluluskan oleh Panel Pakar Syariah (PPS) Jakim pada kali ke-103 dan turut mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan al-Quran (LPPPQ) di Kementerian Dalam Negeri (Bil.108/2.2023). – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here