Syed Hussien (kiri) dan Ka Siong bertemu peniaga semasa berkempen di Bandar Kluang, hari ini

KLUANG – Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, tidak boleh leka dan terlalu selesa dengan sambutan positif yang diterima sejak empat hari berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Syed Hussien perlu terus bekerja keras menemui seberapa ramai pengundi sepanjang tempoh berkempen.

“Beliau tidak boleh ambil mudah dan mesti terus bekerja kuat. Pengalaman beliau sebagai ahli majlis (Ahli Majlis Perbandaran Kluang) banyak membantunya semasa berkempen bertemu orang ramai.

“Beliau boleh faham isu dan masalah yang dihadapi penduduk ketika berkempen,” katanya ketika ditemui semasa membantu Syed Hussien berkempen di bandar ini, hari ini.

Ka Siong berkata, sifat merendah diri dan mudah didekati membuatkan Syed Hussien senang bertemu penduduk setempat ketika berkempen.

“Calon BN ini merupakan orang muda yang sangat merendah diri dan sopan, saya lihat beliau akan tunduk apabila bertemu orang ramai, biasanya perwatakan begini tiada pada calon lain,” katanya.

PRK DUN Mahkota yang akan diadakan pada 28 September ini menyaksikan pertandingan antara Syed Hussien dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here