Calon Perikatan Nasional, Mohamad Haizan Jaafar beramah mesra dengan Pak Da ketika melakukan tinjauan ke lokasi banjir ketika berkempen di Kampung Bentong, Kluang. Foto SADIQ SANI, 17 SEPTEMBER 2024

KLUANG – “Jangan cakap sahaja mahu tolong orang, siapa menang buatlah, sudah lama janji tapi tak buat, bila janji dia kata nanti kita buat tapi bila menang atau kalah sama sahaja tak buat”.

Itu luahan seorang penduduk Kampung Bentong Dalam di sini yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Da, 81, terhadap calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang akan menang nanti.

Bapa kepada lima anak itu mendakwa, ada calon ketika berkempen dalam pilihan raya terdahulu mahu menyelesaikan masalah banjir di kampung itu tetapi apabila menang tidak menunaikan janji.

Dia meminta pihak berkenaan mengorek dan membesarkan parit di kampung tersebut yang cetek.

“Korek dan besarkan laluan air di parit kampung ini. Sudah dua tahun parit ini tidak dikorek. Air dari Kem Mahkota berhampiran kampung ini turun dan masuk ke dalam parit ini dan melimpah,” katanya.

Pak Da berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar bagi PRK DUN Mahkota yang berkempen dan melawat kawasan banjir di kampung itu hari ini.

Seorang lagi penduduk, Noorazma Mohd Nor, 34, berkata, sudah enam kali banjir melanda rumahnya dalam tahun ini akibat parit depan rumah yang cetek.

Dia berkata, air Sungai Melantai naik dari belakang rumahnya selepas hujan lebat selama tiga jam.

“Saya ada buat aduan kepada ketua kampung tetapi tiada tindakan. Perkara sama pernah diadukan kepada ketua kampung terdahulu dan ada tindakan,” dakwa bapa kepada dua anak itu.

Seorang lagi penduduk, Rasidah Mahmud, 75, berkata, setiap kali banjir, air naik sehingga lebih setengah meter dan bertambah teruk jika hujan berpanjangan.

“Setiap banjir perabot dan perkakas rumah akan rosak. Jadi kami minta masalah banjir kilat ini dapat segera diatasi,” ujar ibu kepada 12 anak itu.

Difahamkan terdapat kira-kira 50 buah rumah di kampung berkenaan akan dilanda banjir kilat setiap hujan lebat beberapa jam.

PRK DUN Mahkota yang akan diadakan pada 28 September ini menyaksikan pertandingan antara Haizan dan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here