Nadzri menunjukkan kereta mewah Lotus antara pelbagai barangan termasuk serbuk bijih timah, hasil tembakau dan minuman keras bernilai RM1.2 juta yang berjaya disita JKDM Melaka sejak Julai lalu.

MELAKA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan pelbagai barangan melibatkan serbuk bijih timah, kenderaan mewah, hasil tembakau dan minuman keras bernilai RM1.2 juta sejak Julai lalu.

Pengarahnya, Nadzri Che Ani berkata, dalam serbuan 17 Ogos lalu, pihaknya menyita serbuk bijih timah seberat lima tan yang dipercayai diseludup dari Indonesia untuk kegunaan sektor perindustrian tempatan dianggarkan bernilai RM450,000.

Menurutnya, dalam rampasan pukul 9 pagi itu, logam berkenaan ditemui dalam sebuah lori di tepi pantai berhampiran bandar Mersing, Johor bersama seorang pemandu dan kelindan berusia 30-an dan 40-an.

“Ketika serbuan, mereka gegal mengemukakan sebarang dokumen bukti timah itu telah diikrar kepada JKDM sebelum kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut.

“Modus operandi adalah barang berkenaan diseludup pada waktu awal pagi melalui perairan bandar Mersing, Johor,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Nadzri (tengah) menunjukkan serbuk bijih timah seberat lima tan yang dipercayai diseludup dari Indonesia untuk kegunaan sektor perindustrian tempatan menggunakan sebuah lori bulan lalu.

Tambah Nadzri lagi, JKDM Melaka turut mematahkan kegiatan penyeludupan masuk kereta mewah jenama Lotus dari negara jiran bernilai RM531,960 di Petaling Jaya, Selangor pada 17 Julai lalu.

Ketika serbuan di tempat letak kereta di sebuah pusat beli belah, kereta mewah berwarna putih dipercayai diseludup dari Singapura dan disorok di situ selama tiga bulan bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Dalam serbuan lain, kami berjaya merampas lebih empat tan tembakau bernilai RM77,088 dari sebuah kontena di Pelabuhan Utara, Klang, Selangor pada 3 September lalu.

“Tembakau berkenaan diisi dalam 803 kotak yang dikrar sebagai kacang dan pan masala membawa kepada penahanan seorang wakil syarikat ejen penghantaran berusia 30-an,” katanya.

Tambahnya, kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum tidak lebih 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast