Ku Abd Rahman Ku Ismail

KLUANG – Isu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang yang ditolak semalam tidak akan menjejaskan peluang Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, pihaknya tidak nampak isu berkenaan akan menjadi besar sehingga menghakis sokongan rakyat.

Katanya, ini dibuktikan dengan majoriti diperoleh PN pada pilihan raya negeri (PRN) lebih besar berbanding pilihan raya umum (PRU) pada saat pembangkang bergerak tanpa peruntukan kerajaan.

“Ertinya, penyokong masih tak kisah sebab mereka sanggup berkorban dengan pemimpin sebab itu adalah maruah yang paling besar.

“Kalau kita terima syarat-syarat itu (dalam MoU) maknanya ahli-ahli Parlimen in tidak boleh lagi bercakap tentang isu-isu dan masalah-masalah yang dihadapi rakyat.

“Terutamanya kos sara hidup rakyat yang menghimpit. Kita tak boleh lagi bercakap sebab kita dah tandatangan. Ini kita tak boleh terima,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dorset di sini malam tadi.

Ku Abd Rahman mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sebelum ini menyatakan kerajaan terbuka sekiranya MoU mengenai peruntukan pembangkang mahu dirunding semula.

Namun, Ahmad Zahid berkata, perkara itu tidak akan tersasar daripada syarat asal seperti ditetapkan dalam draf MoU dikemukakan kerajaan kepada PN sebelum ini.

Mengulas lanjut, Ku Abd Rahman berkata, walaupun pembangkang tidak diberi peruntukan tetapi PN akan tetap memperjuangkan nasib rakyat dalam segala aspek yang membebankan

“Ini termasuk isu-isu yang memberi kesan buruk terhadap isu-isu Melayu dan Islam dan akan datang nanti isu lain pula. Kalau kita tandangan saja, kita kena ikut sahajalah.

“Jadi macam lembu. Cucuk hidup ikat tarik je. Kita tak boleh jadi begitu,” ujarnya.

PRK DUN Mahkota yang akan diadakan pada 28 September ini menyaksikan pertandingan antara calon PN, Mohamad Haizan Jaafar dan calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here