Antara peserta yang berarak pada dari Menara Tabung Haji ke Padang Merbok pada Perhimpunan Mega Demi Palestin ketika di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 02 MAC 2024.

PALESTIN akhirnya diberi hak untuk menyertai sesi pertama Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang ke-79 pada 10 September 2024.

Penglibatan Palestin di dalam mesyuarat tersebut diraikan oleh Duta Mesir ke PBB, Osama Mahmoud Abdelkhalek Mahmoud dan seluruh ahli UNGA yang lain; kecuali Timbalan Duta Israel ke PBB, Jonathan Miller.

Beliau menyelar keputusan PBB menyerap masuk Palestin yang didakwanya sebagai sebuah ganjaran kepada kegiatan keganasan, khususnya Hamas.

Walaupun permohonan Palestin untuk menjadi ahli tetap PBB sejak 2011 masih belum diluluskan kerana ditentang Amerika Syarikat (AS) pada April 2024, namun kehadiran Palestin di dalam mesyuarat UNGA baru-baru ini sedikit sebanyak menyuntik semangat dalam kalangan penyokong Palestin untuk terus memperjuangkan hak rakyat Palestin yang dicabuli sejak 1948.

Persembahan khas kanak-kanak dari Palestin pada Perhimpunan Pembebasan Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil. Foto SADIQ SANI, 4 OGOS 2024

Adakah ini bermakna Palestin bakal ‘menumbangkan’ Israel kelak?

Sebenarnya, sejak Mei 2024, UNGA telah memberi sokongan penuh terhadap permohonan Palestin sebagai ahli tetap di PBB pada Mei dengan 143 undian, malah meminta Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk segera mempertimbangkan keahlian Palestin. Inilah kemenangan pertama untuk Palestin.

Pada masa yang sama, undian majoriti itu secara tidak langsung memberi hak sepatutnya kepada Palestin, salah satunya menyertai persidangan bersama ahli PBB yang lain bermula September 2024.

Palestin kini juga berhak untuk mengemukakan pindaan serta cadangan ke peringkat PBB demi keselamatan dan kesejahteraan rakyatnya. Inilah kemenangan kedua untuk Palestin menyuarakan hak mereka.

Justeru, di dalam mesyuarat UNGA baru-baru ini, Palestin langsung mengemukakan satu resolusi yang menuntut Israel untuk menamatkan penjajahan haram di Palestin dalam tempoh enam bulan.

Resolusi itu juga selari dengan kenyataan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Julai lalu yang mengesahkan kehadiran dan penindasan Israel di Palestin telah melanggar undang-undang antarabangsa.

Walaupun secara amnya masyarakat dunia tahu bahawa keputusan UNSC – China, Rusia, AS, United Kingdom, Perancis – yang membolehkan sesebuah resolusi itu dilaksanakan, namun kenyataan ICJ dan keputusan UNGA terikat dengan undang-undang dan politik, sekaligus menekankan aspek jitu – pemimpin negara tidak boleh pandang enteng.

Namun, AS sebagai ahli tetap UNSC sedikit sebanyak menyukarkan mana-mana resolusi yang memihak kepada Palestin untuk dilaksanakan.

Keadaan Gaza yang musnah diserang Israel.-Foto AFP

Manakan tidak, AS sedari awal lagi sudah menegaskan bahawa keahlian Palestin di dalam PBB hanya boleh diterima melalui negosiasi bersama Israel. Dunia juga sedia maklum, sejak 7 Oktober, tiada satu resolusi pun dipersetujui AS, kecuali tiada undian di dalam Resolusi 2728 pada 25 Mac 2024.

Tidak cukup dengan itu, jika pun sesebuah resolusi diluluskan UNSC, adakah Israel akan berdiam diri? Sudah tentulah tidak. Lihat sahaja hasil Resolusi 2728 – penduduk Palestin menyambut Ramadan dengan ledakan bom dan rekod kesyahidan mencecah 876 orang dalam tempoh 11 hingga 21 Mac 2024.

Pada ketika ini, mungkin sukar untuk Palestin menumbangkan Israel memandangkan kedudukannya di dalam PBB belum diiktiraf UNSC.

Tetapi kemenangan yang diperoleh Palestin setakat ini, termasuk sokongan global yang luar biasa sejak 7 Oktober 2023 tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit cukup membuktikan kemenangan mutlak bakal berpihak kepada Palestin walaupun mengambil masa yang lama.

Tidak mustahil melalui sokongan orang ramai serta tuntutan politik yang berlandaskan undang-undang daripada pemimpin dunia dan individu penting, jika diteruskan dalam tempoh yang panjang, pasti akan mendesak AS dan Israel untuk membuat satu keputusan di luar jangkaan.

Pada ketika itu kemenangan sudah pasti untuk Palestin.-MalaysiaGazette

Nur Sabrina Suhaimi

Nur Sabrina Suhaimi
Eksekutif Penyelidik dan Advokasi
Persatuan Cinta Gaza Malaysia

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here