TANGKAP layar laman sosial Facebbok anak bekas ADUN Mahkota yang mempersoalkan kenyataan Annuar Musa. - FB El Patron Wmhibatullah

KLUANG – Anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain mempersoalkan kenyataan Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Annuar Musa kononnya satu majlis tahlil khas akan diadakan dengan kerjasama keluarga Allahyarham.

Menerusi kenyataan di laman sosial Facebook, anak sulung Allahyarham, Wan Mohd. Hibatullah Abu Bakar menafikan perkara itu malah menegaskan, keluarganya tidak mengetahui mengenai majlis yang dimaksudkan oleh Annuar.

Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa sedih dengan kenyataan Annuar itu yang disifatkan tidak menjaga sensitiviti keluarganya.

“Bila ini? Saya sebagai anak sulung (Allahyarhamah) Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, tak tahu pun. Saya mohon jasa baik tidak gunakan simpati arwah emak saya sebagai bahan kempen,” katanya menerusi laman Facebook yang menggunakan nama El Patron Wmhibatullah semalam.

Terdahulu, Annuar menerusi laman sosial Facebook  mendakwa akan mengadakan majlis khas untuk Allahyarham Sharifah Azizah dan majlis maulidurasul pada 24 September ini dengan kerjasama keluarga arwah.

Menurut Annuar, ia merupakan antara program yang disusun PN sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang mana beliau akan turun sekali lagi bersama-sama beberapa pemimpin PN lain bermula 22 September ini.

Sementara itu, Wan Mohd. Hibatullah menegaskan, keluarganya tetap setia bersama Barisan Nasional (BN) dan menghormati pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Malah beliau juga akan meneruskan perjuangan arwah ibunya bersama UMNO dan BN.

Sharifah Azizah meninggal dunia pada 2 Ogos lalu selepas dilaporkan kritikal akibat pendarahan dalaman ketika mendapatkan rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK). – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Anuar Musa ni memang biadab dan tak tahu malu. Malah amat memalukan PN dan PAS. Eloknya dia ni di usir terus dari PAS .Ini bangsa yang kurang ajar.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here