Kem Nemo di Pantai Balok ditutup buat sementara sehingga siasatan lengkap dijalankan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan kes pokok tumbang berlaku sehingga menyebabkan kematian seorang warga emas pada semalam

KUANTAN – Tapak perkhemahan Kem Nemo di Pantai Balok, di sini, diarah ditutup buat sementara waktu sehingga siasatan kejadian seorang lelaki maut dihempap pokok petang semalam selesai.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, langkah itu bagi memastikan aspek keselamatan di kawasan tersebut terjamin berikutan cuaca buruk

“Kita sudah memaklumkan kepada pengusaha tapak perkhemahan agar tidak membuat aktiviti perkhemahan di lokasi tersebut sehingga dimaklumkan kelak.

“Kita juga menasihatkan orang ramai yang melakukan aktiviti di luar supaya lebih peka dengan persekitaran,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Semalam, seorang peneroka Felda maut manakala dua lagi cedera selepas dihempap pokok tumbang ketika berkhemah dalam keadaan hujan dan ribut di kawasan itu pada jam 3.56 petang.

Mangsa Che Zakariah Che Ali, 68, dari Felda Cherul 2, Kemaman, Terengganu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Cucu mangsa, Nurul Amni Aisyah Mohamad Afiq, 7, cedera pada bahagian kepala sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan dalam keadaan stabil.

Anak keempat mangsa pula mengalami bengkak kaki.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati polis telah menutup kawasan berkenaan.

Difahamkan semua pengunjung telah mengosongkan tapak perkhemahan itu sejak petang semalam. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here