Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melakukan gimik perasmian Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024 (KSPN 2024) di Hotel Doubletree, Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2024.

SHAH ALAM – Kerajaan sedang berusaha membawa balik bahan-bahan sejarah dari luar negara termasuk artifak serta dokumen penting yang dirampas, disembunyikan dan dibawa lari pelbagai pihak termasuk penjajah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu akan dibawa ke Kabinet bagi mendapatkan peruntukan sewajarnya susulan kos membawa balik bahan sejarah itu agak tinggi.

“Arkib Negara memerlukan satu peruntukan berdasarkan kepada nilai bahan-bahan sejarah yang masih tertinggal dan disimpan pihak tertentu sama ada di pejabat bekas penjajah, muzium, tempat-tempat lain atau individu.

“Harganya mungkin mahal, inilah dimaksudkan  supaya bahan-bahan ini dapat dibawa balik ke Malaysia untuk dijadikan bahan sejarah,” katanha kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional di sini hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, usaha membawa bahan-bahan sejarah itu merupakan satu keperluan mendesak dan perlu diusahakan dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Sebenarnya beberapa usaha telah dibuat untuk membawa balik bahan-bahan sejarah dari luar negara. Memang keperluan ini sangat mendesak bukan hanya bahan-bahan sejarah berbentuk artifak tetapi juga banyak dokumen pada hemat saya masih terdapat di luar negara,” katanya.

Beliau berkata, walaupun menyedari kos untuk membawa pulang bahan sejarah itu tinggi namun usaha mesti dilakukan segera.

“Ini wajib, berapa pun harganya saya fikir usaha mesti dibuat kalau tidak sepenuhnya dibuat pihak kerajaan mungkin pihak swasta khususnya GLIC atau GLC boleh membiayai kos berkenaan.

“Saya belum dapat anggaran (kos) tapi saya fikr Menteri Perpaduan akan membawa perkara ini ke Kabinet.

“Kita akan teliti berapa keperluannya (kos),” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here