Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap selepas melawat tapak pembinaan Poliklinik Angkatan Tentera di Kem Mahkota, Kluang. Foto SADIQ SANI, 19 SEPTEMBER 2024

KLUANG – Sebarang bentuk kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sepatutnya mengambil kira sensitiviti dan menghormati perasaan ahli keluarga bekas ADUN kawasan itu, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kempen sepanjang PRK itu juga sepatutnya menggunakan pendekatan menyantuni rakyat serta berjalan dengan tertib.

“Saya fikir dalam apa pun bentuk kempen, kita kena hormati sama ada seseorang itu masih berada dengan kita atau telah tiada, kita harus jaga perasaan ahli keluarga Allahyarham,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya berkenaan kontroversi kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa satu majlis tahlil khas akan diadakan untuk Allahyarham Sharifah Azizah dengan persetujuan keluarga arwah.

Menurut Annuar yang juga Timbalan Pengarah Operasi Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), ia merupakan antara program yang disusun PN sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota yang mana beliau akan turun sekali lagi bersama-sama beberapa pemimpin PN lain bermula 22 September ini.

Bagaimanapun, anak sulung arwah, Wan Mohd. Hibatullah Abu Bakar menafikan kenyataan yang dibuat Annuar menerusi laman sosial Facebook itu, malah menegaskan keluarganya tidak mengetahui mengenai majlis tahlil yang dimaksudkan tersebut.

Dalam masa sama, Wan Mohd. Hibatullah turut melahirkan rasa sedih dengan kenyataan Annuar itu yang disifatkan tidak menjaga sensitivi keluarganya.

Sementara itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan yang mana PRK itu diadakan bagi membolehkan jasa dan khidmat baik yang ditinggalkan oleh Allahyarham Sharifah Azizah dapat diteruskan.

Ujar beliau, ia juga bagi memastikan kemajuan negeri Johor dapat terus berkembang dan manfaatnya bukan sahaja dapat dibawa di DUN Mahkota, malah ke seluruh daerah Kluang.

“Pada hemat saya, cukup-cukuplah menggunakan pendekatan lama dengan membaling rasa kebencian serta melontarkan sesuatu yang di luar norma-norma dan etika politik dalam berkempen,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here