Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) dan isteri bersama 19 individu dibawa keluar selepas mendapatkan perintah reman semasa ditahan dalam Ops Global di Bukit Kayu Hitam, Kedah semalam ketika di Mahkamah Majistret Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 19 SEPTEMBER 2024.

SHAH ALAM – Seorang lelaki dipercayai Ketua Pegawai Eksekutif Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH)  dan isterinya antara 19 individu yang ditahan reman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Perintah reman yang bermula hari ini hingga 25 September dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.

Kesemua ditahan bagi membantu siasatan mengikut Sekysen 32 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022.

Terdahulu, 19 individu termasuk 12 lelaki dan tujuh perempuan yang berusia antara 25 hingga 65 tahun itu ditahan dalam serbuan di empat unit kediaman di Jalan Imbi, Bukit Bintang, Kuala Lumpur menerusi Op Global, kira-kira jam 5.40 pagi tadi.

Tangkapan itu dilakukan pasukan Bahagian D8 (Operasi Khas) Bukit Aman, Pasukan Khas Siasatan Bersepadu (PKSB) dan Bahagian Siasatan Jenayah Terancang (D14), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Bagaimanapun dalam serbuan serentak itu, tiada rampasan dilakukan pihak polis. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here