Gambar hiasan

BARU-baru ini, terdapat cadangan untuk mengembalikan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

Polisi pendidikan tidak sepatutnya dibuat berdasarkan sentimen, pungutan suara atau suara majoriti masyarakat. Ia perlu dibuat berdasarkan kajian, data dan perancangan jangka panjang masa depan pendidikan negara.

Berdasarkan banyak kajian di dalam dan luar negara, pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) adalah langkah terbaik untuk pentaksiran pelajar secara holistik. Oleh itu, mengembalikan UPSR dan PMR tidak wajar kerana pentaksiran di peringkat sekolah rendah dan menengah tidak seharusnya melibatkan peperiksaan ‘high-stake’ sehingga mengorbankan nilai pendidikan.

UPSR dirancang untuk menilai kemahiran asas 3M: membaca, mengira, dan menulis. Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) menekankan kemahiran ini. Untuk memastikan pencapaiannya, penilaian seharusnya dilakukan secara berterusan, setiap minggu atau bulan, bukan setiap tahun
atau setiap enam tahun seperti UPSR.

Keputusan UPSR sering kali bersifat artifisial dan gagal mencerminkan prestasi keseluruhan ekosistem pendidikan. Apabila dianggap sebagai peperiksaan berkepentingan tinggi, ibu bapa merasa terpaksa mendapatkan bantuan luar untuk meningkatkan keputusan anak mereka, seperti mendaftar di kelas tuisyen atau program latih tubi dan seumpamanya.

Namun, tidak semua ibu bapa mampu menanggung kos tambahan ini. Akibatnya, kanak-kanak dari latar belakang kurang mampu akan terus ketinggalan.

Oleh itu, UPSR tidak mengukur pencapaian sebenar dalam sistem pendidikan kita, kerana ia sering kali mencerminkan prestasi pelajar yang turut mendapat sokongan luar, bukan hasil dari sistem pendidikan kebangsaan itu sendiri. Sekolah-sekolah sering berbangga memperagakan keputusan bilangan “A” padahal keputusan tersebut bukan hasil sistem persekolahan kita sepenuhnya.

Pentaksiran sepatutnya bukan sekadar untuk mengenal pasti pencapaian akademik anak-anak, tetapi ia juga bersifat pentaksiran proses pembelajaran (assessment of the learning process) dan pentaksiran untuk meningkatkan pembelajaran (assessment for learning). Ketiga-tiga jenis penilaian
ini dapat dilaksanakan dengan berkesan melalui pentaksiran berasaskan sekolah (PBS), yang sedang dilaksanakan sekarang.

PBS membolehkan sekolah mengenal pasti kelemahan dan cabaran pembelajaran setiap pelajar, membolehkan program intervensi pemulihan yang disasarkan dilaksanakan seperti yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan baru-baru ini. Selain itu, ia membantu sekolah menilai dan meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Melalui PBS, fokus penilaian kini telah beralih dari berorientasikan peperiksaan kepada berorientasikan pembangunan. PBS mewakili pentaksiran pintar, yang dicirikan oleh fleksibiliti dan
tumpuan kepada keperluan individu.

Penilaian sumatif seperti UPSR tidak memberikan penilaian yang adil bagi pelajar, dan bertentangan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), yang menekankan pentingnya pendidikan dalam membangunkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.

Menariknya, penekanan FPK terhadap pembangunan holistik murid hampir serupa dengan dokumen UNESCO 2020, “Learning to Become with the World: Education for Future Survival”. Dokumen ini menyatakan matlamat utama pendidikan adalah “kemenjadian” (Learning To Become), dan menekankan bahawa pendidikan harus berorientasikan pembangunan, termasuk dalam kaedah penilaian.

PBS meraikan kepelbagaian potensi, bakat, dan kemampuan pelajar. Sebagai contoh, pelajar yang mempunyai kemahiran kreatif yang kuat boleh digalakkan untuk menyertai pertandingan inovasi, sementara mereka yang berbakat dalam seni dapat diketengahkan dalam pertandingan seni.

PBS mempersiapkan pelajar untuk masa depan yang lebih terarah melalui penilaian holistik yang tidak terikat kepada skema jawapan yang ketat, yang mendorong kreativiti, inovasi, dan kesedaran diri dalam kalangan pelajar.

Walaupun pelaksanaan PBS mempunyai banyak cabaran dan masalah, adalah penting untuk mengenal pasti isu-isu ini dan berusaha menyelesaikannya. Salah satu cabaran utama adalah
merangka dan melaksanakan strategi yang membolehkan guru menggabungkan penilaian untuk pembelajaran dengan berkesan. Ini memerlukan pelajar mengambil peranan aktif dalam perjalanan pembelajaran mereka, menjadikan penilaian lebih hidup dan pembelajaran lebih dinamik.

Kepadatan kurikulum, kekangan infrastruktur dan saiz kelas juga merupakan cabaran yang sedang ditangani oleh Kementerian KPM.

Langkah yang betul memilih pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) tidak harus dibatalkan dan diganti semula dengan UPSR dan PT3 hanya kerana terdapat masalah di dalam pelaksanaannya. Langlah kebelakang sebegini tidak menyelesaikan masalah pendidikan negara.

Profesor Dr. Omar Yaakob
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan
Pertubuhan IKRAM Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast