Syed Hussien berucap dalam Program Sembang Santai Bersama Calon Barisan Nasional di Perpustakaan Desa Kampung Melayu, Kluang hari ini.

KLUANG – Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tidak akan menjanjikan bulan dan bintang semata-mata mahu meraih undi.

Calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, janji dan tawaran yang akan diberikan dalam Manifesto BN adalah realistik dan mampu ditunaikan.

“Manifesto BN sedang dirangka dan akan diumumkan dalam masa terdekat. Antara yang kita masukkan dalam manifesto adalah Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030 (PPMJ 2030).

“Ini kerana pelan dan dasar pembangunan Johor itu sudah cukup untuk memberi manfaat kepada rakyat Kluang. Kita tidak janjikan bukan dan bintang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam Program Sembang Santai Bersama Calon Barisan Nasional di Perpustakaan Desa Kampung Melayu, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenggaroh, K Raven Kumar merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini dilaporkan berkata, Manifesto PN akan diumumkan dalam masa dua hari lagi.

PN ketika ini kata Azmin, di peringkat akhir dan sedang mengadakan perbincangan untuk melihat tawaran yang boleh diberi dalam Manifesto PN.

Mengulas lanjut, Syed Hussien berkata, pelan Pembangunan Johor itu merangkumi semua aspek bukan sahaja pendidikan tetapi kebajikan rakyat.

Katanya, negeri ini berada pada landasan yang betul apabila ramai orang muda diberikan tempat dan peluang dalam pentadbiran kerajaan negeri iaitu kira-kira hampir 80 peratus.

Sementara itu, Raven Kumar melahirkan harapan agar pengundi membuat pilihan yang betul dan memberi peluang kepada Syed Hussien untuk mewakili mereka di DUN Mahkota.

“Kalau tak bekerja dengan baik dua tahun boleh tukar lagi, buat pilihan yang betul bukan untuk lima tahun tetapi dua tahun sahaja. Saya percaya Syed Hussien rajin dan kuat bekerja,” katanya.

Menurutnya, apabila Calon BN itu dipilih, keyakinan pelabur akan semakin mengukuh kerana mereka lihat rakyat percaya kepada wakil rakyat daripada kerajaan sedia ada.

BN mempertaruhkan Hussien, 40, yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lalu manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan. – MalaysiaGazett

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here