Rosmarina Deraman menunjukkan kerusi bayi yang terletak di bawah rempuhan bumbung akibat ribut kencang pada petang Isnin lalu

KUANTAN – Tindakan pantas peniaga nasi kukus  menyelamatkan seorang kanak-kanak 3 tahun daripada dihempap bumbung di sebuah kedai makan dekat Balok di sini, petang kelmarin.

Kejadian itu berlaku ketika angin kencang dan hujan lebat.

Menceritakan detik-detik cemas itu, Rosmarina Derahman, 43, berkata, dia tidak sedap hati melihat anak jirannya duduk di atas kerusi bayi di gerai bersebelahan rumahnya ketika cuaca buruk.

Lantas dia membawa masuk anak kecil itu ke dalam rumahnya.

“Sejurus membawa masuk, ribut makin kuat dan ’mengangkat’ bumbung zink sebelum menghempas semula bumbung itu sehingga runtuh struktur atap kedai miliknya.

”Tak sampai lima minit selepas itu bumbung jatuh betul-betul atas kerusi bayi. Mujur sempat alihkan anak jiran, kalau tidak tak tahulah apa jadi nasib dia (bayi).

”Kejadian ribut betul-betul kuat sehingga air hujan tempias masuk dalam rumah, angin kuat sampaikan bumbung terbang hempap ke atas lantai dan tiang kayu roboh,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ibu kepada tiga anak itu menambah, ketika kejadian tiada pelanggan di rumahnya namun ada seorang tukang masak di dapur yang kemudian lari menyelamat diri ketika kejadian pukul 4 petang itu.

Rosmarina berkata, kejadian itu berlaku selepas dia baru sahaja melakukan pengubahsuaian kedainya dua bulan lalu dan kerja-kerja itu menelan kos RM55,000.

Akibat kejadian kelmarin, separuh kedainya roboh dan memerlukan kira-kira RM10,000 untuk dibaiki.

Rosmarina bagaimanapun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa akibat insiden berkenaan.

Beliau dan suaminya, Yahya Yaakob yang sudah mendiami kawasan Balok lebih 18 tahun berkata, fenomena ribut kencang pernah berlaku tapi tidak sekuat seperti puting beliung yang berlaku baru-baru ini.

Pada petang Isnin, ribut kencang di kawasan berkenaan turut menyebabkan sebuah pokok rhu tumbang di tapak perkhemahan Kem Nemo dan menghempap seorang warga emas sehingga maut.

Kejadian itu hanya terletak kira-kira 1 kilometer dari rumah Rosmarina. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here