Azmin ketika berucap dalam program ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham, Kluang, malam tadi.

KLUANG – Situasi terkini dan sentimen pengundi adalah penentu kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Pengarah Utama PN bagi PRK DUN Mahkota, Datuk Seri Azmin Ali mengakui bukan mudah untuk PN merampas kerusi DUN Mahkota daripada UMNO namun perkara itu bukan mustahil.

“Saya ambil pendekatan daipada segi realiti, kita ikut data, statistik dan situasi semasa. Memang kerusi DUN Mahkota mencabar bagi PN.

“Apabila lihat komposisi pengundi iaitu pengundi Melayu berjumlah 54 peratus dan pengundi bukan Melayu 45 peratus, jadi ini kerusi yang susah untuk PN (menang).

“Tetapi dalam politik tiada yang mustahil. Situasi terkini dan sentimen rakyat terhadap kerajaan di Putrajaya yang tidak puas hati dengan isu seperti masalah ekonomi dan tiada peluang pekerjaan.

“Rakyat sudah letih dengan prestasi kerajaan yang ada di Putrajaya, ini kita akan terjemahkan kemarahan mereka ke dalam peti undi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di sini malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Yang Dipertua Pas Johor, Abdullah Husin.

Azmin mengulas dakwaan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa pada 8 September lalu yang meramalkan Barisan Nasional (BN) akan selesa mengekalkan kerusi DUN Mahkota dalam PRK tersebut nanti.

Mengulas lanjut, Azmin berkata, bagi memastikan pengundi dapat ‘menterjemahkan’ rasa tidak puas hati mereka, PN memerlukan jentera yang kuat untuk masuk ke setiap kawasan.

Katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, jentera PN perlu bekerja keras dan bijak mengatur strategi dalam memastikan usaha tersebut berjaya.

“Saya yakin kita boleh menang, banyak kawasan sebelum ini menjadi kubu BN tetapi telah berubah contohnya seperti di Selangor.

“Selangor sepatutnya sudah jadi negeri PN dan tiada yang mustahil kalau kita kerja keras dan bijak dalam strategi, insya Allah kita akan tawan kerusi (DUN Mahkota),” katanya.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here