Tangkap layar video dikongsikan Abg Dron menunjukkan keadaan tandas awam di Pantai Puteri seolah-olah 'tergantung' akibat hakisan.

MELAKA – Fenomena air pasang besar dan ombak kuat mengakibatkan kejadian hakisan di Pantai Puteri semakin buruk sehingga tular di media sosial sejak semalam.

Lebih membimbangkan, bencana itu mengakibatkan salah satu tandas awam di sepanjang 2.5 kilometer pantai rekreasi yang menjadi tumpuan pelancong itu seolah-olah ‘tergantung’.

Menerusi video dron berdurasi 1 minit 25 saat bertarikh semalam yang tular di TikTok, ia menunjukkan pantai berkenaan yang sebelum ini menjadi tumpuan orang ramai berkhemah semakin ‘lenyap’ akibat hakisan.

Selain tandas, kelihatan gerai makanan turut terjejas apabila hampir rebah ke laut selain beberapa batang pokok ru yang baru ditanam untuk menghalang hakisan juga gagal bertahan.

Walaupun dikenali sebagai pantai pelancongan, Pantai Puteri yang merangkumi Pantai Jaring, Pantai Rombang dan Pantai Kundur turut menjadi sumber rezeki lebih 70 nelayan di kampung sekitarnya.

Untuk rekod sejak sekian lama, Pantai Puteri mempunyai 20 baris pokok ru mengadap laut sekali gus menjadikannya destinasi pelancongan wajib di Melaka.

Namun, hakisan yang semakin buruk sejak tujuh tahun lalu mengakibatkan ia tumbang dan kini hanya tinggal antara satu hingga lima baris pokok sahaja.

Kejadian pokok ru tumbang turut pernah mengorbankan seorang bayi lelaki berusia 17 bulan manakala ibunya akibat dihempap pokok berkenaan pada 12 November 2022. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast