Gambar hiasan

KOTA BHARU – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menasihati orang ramai mengambil perhatian berhubung maklumat ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, mereka boleh mengakses maklumat secara langsung menerusi laman sesawang MetMalaysia untuk melihat sebarang perubahan cuaca yang tidak menentu yang sedang melanda negara ketika ini.

Beliau berkata, sistem amaran di negara ini sentiasa berfungsi dengan baik terhadap ramalan dan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan MetMalaysia.

“Oleh itu, saya berharap agar orang ramai sentiasa peka terhadap amaran serta perubahan cuaca yang berlaku di kawasan masing-masing susulan fasa peralihan monsun dijangka bermula November ini.

“Saya juga menasihati orang ramai agar menangguhkan sebarang aktiviti riadah di kawasan perkelahan, pinggiran sungai, cerun bukit dan kawasan berisiko berikutan cuaca ekstrem ketika ini,” katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan kerja ke Kampung Angkat MADANI di Kampung Aril, di sini, hari ini.

Hari ini, Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah dilaporkan berkata fasa peralihan monsun dijangka bermula 24 Sept dan berterusan sehingga awal November ini.

Menurutnya, permulaan fasa berkenaan menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 17 Mei lepas dan rantau negara diramal akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah. – BERNAMA

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here