KUALA LUMPUR – Semua ayam dan bahan mentah yang dibekalkan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) wajib ada sijil halal, kata Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) itu turut menafikan dakwaan penceramah yang mendakwa ayam yang dibekalkan kepada MRSM daripada syarikat yang tidak mendapt sijil halal.
“Setiap kontraktor makan wajib memperincikan secara bertulis dan menjadi sebahagian dokumen kontrak semua perincian bahan-bahan mentah dan nama pembekal termasuk jenama dan sijil Halal Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) dan lain-lain.
“Saya juga sudah mengarahkan dengan tegas agar pemantauan dan pemeriksaan secara berterusan dibuat bukan sahaja oleh pengetua, penyelia qsrama, warden bahkan Pegawai Mara daerah dan negeri juga secara berkala oleh pegawai-pegawai Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) Mara ibu pejabat,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.
Jelas beliau, semua ini dilakukan bagi memastikan semua bekalan dan spesifikasi bekalan makanan yang disediakan untuk pelajar adalah mengikut apa yang telah disyaratkan dalam kontrak termasuk soal yang paling penting halalan dan Toyyiban (kebersihan dan keselamatan).
“Insya Allah saya sendiri dari semasa ke semasa akan lakukan terjahan dan lawatan mengejut ke semua MRSM supaya tiada perlanggaran dilakukan.Saya mengambil tanggungjawab kerana ini adalah amanah yang saya galas. Sudah tentu kesejahteraan dan keberkatan untuk para pelajar adalah keutamaan saya,” tambahnya. – MalaysiaGazette