Mohamed Azmin (tengah) bersama penyokong PN selepas menyampaikan ucapan dalam ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mesjid Lama, Kampung Melayu, Kluang, malam tadi.

KLUANG – “Kalau pihak yang sepatutnya tidak menjawab, biar rakyat yang tentukan (undi dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Mahkota) pada 28 September ini.”

Itu respons Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enggan menjawab berkenaan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor sekiranya BN menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Menurut Azmin yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau sudah memberikan semua fakta dan hujah berkenaan perkara tersebut.

“Saya dah beri semua fakta dan hujah, saya hanya tanya soalan, mengapa tiada Kerajaan Perpaduan di Johor sedangkan di negeri lain ada.

“Jadi saya boleh terangkan kepada rakyat (selepas mendapat jawapan dan penjelasan). Tapi takpe biar rakyat ‘jawab’ pada 28 September ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mesjid Lama, Kampung Melayu di sini malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Yang Dipertua Pas Johor, Abdullah Husin.

Semalam dalam sidang sempena lawatan kerja Ahmad Zahid ke Kem Mahkota di sini tidak menjawab soalan diajukan pihak media berkenaan perkara tersebut.

“Saya tak kenal dialah,” katanya ringkas menyindir ketika diminta mengulas cabaran Mohamed Azmin supaya Johor membentuk Kerajaan Perpaduan jika memenangi PRK DUN.

Mohamed Azmin dalam ucapannnya dalam ceramah kelompok di Kampung Melayu di sini malam semalam, mencabar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya mengumumkan pembentukan Kerajaan Perpaduan di negeri ini sekiranya BN menang.

Mohamed Azmin dilaporkan berkata, Onn Hafiz sepatutnya bersikap terbuka dan adil dalam hal itu kerana sehingga kini tiada Kerajaan Perpaduan di Johor meskipun mendapat sokongan parti komponen Pakatan Harapan (PH).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.

BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) yang lepas manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini manakala 24 September sebagai hari undi awal.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here