Tan Sri Muhyiddin Yassin

KLUANG – Barisan Ahli Parlimen pembangkang tidak memberikan cadangan balas berhubung draf perjanjian persefahaman (MoU) baharu berkaitan peruntukan kerana tidak yakin kerajaan benar-benar mahu memberikan peruntukan tersebut kepada mereka.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara berhubung cadangan balas itu ada dibangkitkan dalam mesyuarat sebelum ini, namun tiada kata putus dibuat Ahli Parlimen pembangkang.

“Sebab kita tahu cadangan balas itu nanti mungkin kita tak akan dapat apa pun, nak berunding pun perkara ini sudah berlanjutan dua tahun.

“Kita juga tak tahu berapa banyak peruntukan itu kalau mahu diberikan, sebab tidak disebut dalam draf, adakah RM30 juta atau RM3 juta atau hanya RM300,000.

“Kita pun takut dengan apa yang bakal berlaku, mungkin cakap nak bagi tapi sebenarnya tak bagi, kalau bagi pun mungkin sedikit sahaja,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sesi perjumpaan dan dialog bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan tokoh-tokoh individu (NGI) di Dewan Lamanara di sini hari ini, yang turut disertai calon PN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Mohamad Haizan Jaafar.

Muhyiddin ditanya sama ada Ahli Parlimen pembangkang akan menghantar cadangan balas selepas sebelum ini membuat keputusan menolak draf MoU peruntukan kepada mereka yang ditawarkan kerajaan.

Ekoran itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang mengetuai perbincangan berkaitan persefahaman itu berkata,  jika PN masih mahu meneruskan perbincangan, mereka perlu memberi maklum balas secara rasmi berdasarkan draf MoU berkenaan, bukannya menerusi kenyataan kepada media.

Sementara itu, Muhyiddin turut menegaskan isu berhubung cadangan balas draf MoU tersebut tidak sepatutnya timbul memandangkan peruntukan kepada pembangkang adalah perkara yang sepatutnya dilaksanakan kerajaan tanpa syarat.

Apatah lagi, ujar beliau, Pakatan Harapan (PH) sendiri memasukkan pemberian peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang itu dalam manifesto pilihan raya umum mereka sebelum ini.

“Malang sekali mereka tidak tunai (janji manifesto), sedangkan ketika PN jadi kerajaan, kita bagi semuanya, tak perlu mohon tak perlu surat pun, jauh sekali perlu MoU,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menggesa kerajaan hari ini belajar daripada empat buah negeri yang ditadbir PN ketika ini yang mana kesemua wakil rakyat pembangkang diberikan peruntukan.

“Tak mengapalah, kita berlapang dada, tak mengapa kalau kerajaan tak mahu bagi (peruntukan), kita akan `fight’ (berkorban) untuk rakyat dan tolong setakat mana yang kita termampu. Tetapi rakyat janganlah salah kami pula (terhad untuk hulur bantuan),” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here