Mohideen.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), kementerian dan agensi berkaitan bertindak tegas terhadap penipuan pakej haji serta umrah yang semakin membimbangkan.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader dalam kenyataan berkata, penipuan itu bukan sahaja menjejaskan reputasi Malaysia sebagai negara yang menghantar ribuan jemaah setiap tahun, malah turut menzalimi mereka yang berniat ikhlas untuk menunaikan ibadah suci.

Jelas beliau, terdapat peningkatan ketara dalam kes penipuan berkaitan pakej haji dan umrah saban tahun yang mana jemaah menjadi mangsa penipuan syarikat tidak bertanggungjawab.

“Lebih menyedihkan, ada antara mereka yang terkandas di lapangan terbang atau dibiarkan dengan penginapan dan perkhidmatan yang jauh berbeza daripada apa yang ditawarkan dalam pakej.

“Isu ini bukanlah baharu, ia kerap kali dilaporkan tetapi apa yang kita lihat ialah kekurangan tindakan tegas daripada pihak berkuasa.

“Sampai bila niat suci jemaah Malaysia akan terus dieksploitasi oleh pihak tidak bertanggungjawab?” soal Mohideen.

Mengulas lanjut Mohideen turut menekankan agar pengusaha syarikat perlu mengutamakan etika, moral dan tanggungjawab sosial dalam perkhidmatan mereka agar tidak menjejaskan imej Islam.

Tahun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata sebanyak 399 laporan polis diterima berhubung dakwaan penipuan pakej umrah oleh sebuah syarikat pelancongan membabitkan seramai 1,614 jemaah di seluruh negara dengan jumlah kerugian lebih RM14 juta. 

Manakala Setiausaha Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan MOTAC, Roslan Mohammad pula mendedahkan pada tahun sama juga penipuan umrah di Malaysia meningkat dengan merekodkan kerugian kira-kira RM9 juta.

Jumlah penipuan yang direkodkan itu meningkat tiga kali ganda berbanding pada 2022 dengan 62 kes dilaporkan kepada pihak polis membabitkan kerugian RM2.1 juta. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here