KUALA LUMPUR – Kejayaan Persidangan dan Pameran Modal Insan Kebangsaan (NHCCE) 2023 menjadi inspirasi kepada Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk menganjurkan program yang sama tahun ini pada skala yang lebih besar.

Lebih 4,000 pemain industri khususnya dari rantau Asia Tenggara mengambil bahagian dalam NHCCE 2023 sehingga berjaya mencatat Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai persidangan modal insan terbesar.

Dengan tema ‘Menginsankan Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Tenaga Kerja Masa Depan’, NHCCE 2024 menyasarkan penyertaan lebih ramai delegasi serta pemain industri dalam bidang modal insan, dari dalam dan luar negara.

HRD Corp dalam satu kenyataan berkata, skop NHCCE 2024 diperluaskan merangkumi spektrum pembangunan perniagaan dan modal insan sebagai wacana masa depan.

Dunia kini memerlukan pengaruh kecerdasan buatan (AI) terhadap produktiviti dan pertumbuhan ekonomi di Malaysia yang semakin jelas, terutamanya melalui sektor-sektor utama seperti kesihatan, kewangan, pertanian, dan pendidikan. AI membantu mempercepatkan operasi, meningkatkan kecekapan, dan menyokong pengambilan keputusan yang lebih baik berdasarkan data.

Contohnya, AI telah meningkatkan sektor penjagaan kesihatan melalui teknologi pengimejan yang membantu mengesan penyakit dengan lebih tepat. Di sektor kewangan pula, AI digunakan untuk pengesanan penipuan dan penilaian risiko, manakala di pertanian, teknologi AI membantu petani meningkatkan hasil tanaman dan mengurus sumber secara lebih cekap.

Dari segi kesan ekonomi, AI mempunyai potensi besar untuk meningkatkan produktiviti negara. Laporan menunjukkan bahawa penggunaan AI generatif di Malaysia berpotensi untuk membuka nilai produktiviti sebanyak USD113.4 bilion, bersamaan dengan 25% daripada KDNK Malaysia pada 2022.

Selain itu, inisiatif seperti Peta Jalan AI Malaysia dan Dasar Revolusi Industri 4.0 telah dirancang untuk mempercepatkan digitalisasi dan menyokong inovasi di seluruh industri.

Secara keseluruhannya, AI bukan sahaja memberi manfaat kepada industri-industri utama di Malaysia, tetapi juga membantu negara dalam mencapai matlamat ekonomi jangka panjang, termasuk meningkatkan daya saing dan mencipta pekerjaan baru yang berasaskan teknologi.

NHCCE 2024 dijadualkan pada 30 September hingga 2 Oktober depan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) melibatkan lebih 30 pakar dalam bidang modal insan selain kumpulan pengamal sumber manusia.

“Terdapat lebih 300 pempamer yang menawarkan produk dan perkhidmatan terkini dalam model peningkatan kemahiran, teknologi baru dan lain-lain berkait dengan dunia AI. Antara acara menarik selain persidangan adalahaktiviti interaktif, suai kenal padanan perniagaan, ‘masterclass’ dan lain-lain lagi.

“NHCCE 2024 akan membincangkan secara mendalam peranan AI di tempat kerja dan implikasinya terhadap masa depan tenaga kerja.

“Persidangan ini akan mengupas cara mengatasi cabaran serta memanfaatkan peluang dari pertumbuhan AI untuk tenaga kerja dan bakat di rantau ini,” katanya.

Para delegasi NHCCE 2024 berpeluang berbincang dan berkongsi amalan terbaik bagi meningkatkan kemahiran untuk sentiasa berada di hadapan dalam revolusi AI di pelbagai sektor selain menggalakkan kerjasama antarabangsa untuk membangunkan penyelesaian AI yang akan melengkapi kekuranganmanusia.

Persidangan tiga hari ini juga, menurut HRD Corp akan memberi ruang secukupnya dalam menyokong pelaburan penyelidikan dan pembangunan berasaskan AI yang boleh mencipta peluang pekerjaan di rantau ini.

“Kita juga akan menyediakan platform pembelajaran bertenaga AI dan pembantu maya dalam memudahkan pembangunan kemahiran serta pemerolehan pengetahuan untuk pekerja bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan keperluan pekerjaan yang berubah-ubah, sekali gus kekal berdaya saing di pasaran kerja global,” kata HRD Corp.

NHCCE 2024 membariskan wajah-wajah terkenal antarabangsa antaranya Mehdi Hasan yang merupakan wartawan dan pengulas politik British-Amerika yang telah memenangi pelbagai anugerah. Beliau pernah bekerja dengan saluran berita dan penerbitan terkemuka seperti The Guardian, Al Jazeera, Peacock, dan MSNBC, di mana beliau menjadi hos rancangan ‘The Mehdi Hasan Show’. Beliau telah menemu bual tokoh terkenal seperti Noam Chomsky, Alexandria Ocasio-Cortez, Bernie Sanders, serta selebriti seperti John Legend dan Mark Ruffalo. Mehdi juga merupakan penulis buku terlaris New York Times, ‘Win Every Argument’, dan kini mengendalikan organisasi berita sendiri, Zeteo.

Dalam pada itu, persidangan tersebut turut menampilkan John Mattone, jurulatih eksekutif terkemuka dunia yang pernah bekerjasama dengan legenda industri seperti Steve Jobs dari Apple dan Roger Enrico dari Pepsi.Beliau juga merupakan perintis Sistem Kepimpinan Cerdas (IL) yang menggerakkan kepimpinan luar biasa menggunakan falsafah dan kaedah pertumbuhan berorientasikan hasil.

Selain itu, Dr Jack J. Phillips pakar penilaian, pengukuran dan akauntabiliti terkenal dunia yang menjadi perunding kepada syarikat Fortune 500 dan organisasi global juga bakal berkongsi kepakarannya semasa NHCCE 2024 berdasarkan pengalamannya selama 27 tahun dalam bidang tersebut.

Penulis terkenal Dr Justin Cohen yang juga penceramah global dan pemimpin dalam transformasi manusia juga bakal menyertai NHCCE 2024. Beliau telah melatih beribu-ribu individu dari lebih 40 negara dan berkongsi pentas dengan personaliti ikonik seperti Deepak Chopra, Richard Branson, John Maxwell, dan Jack Canfield.

Beberapa moderator popular dan profesional akan mengambil bahagian di platform ini termasuklah Luqman Hariz, seorang pengacara berita dan wartawan di Astro Awani.

Sebarang pertanyaan atau maklumat, boleh layari www.hrdcorp.gov.my/nhcce, http://www.hrdcorp.gov.my/nhcce), emel: [email protected] atau hubungi 03-7661 6255.

Penganjur turut menyediakan pakej menarik untuk mana-mana pihak yang berminat menyertai NHCCE 2024:

Pakej Tempatan:

– Pas Standard: RM3,200 per pax

– Pas Berkumpulan: RM2,900 per pax (minimum 5 pax)

– Pas Kerajaan: RM2,500 per pax

– Pas Pelajar: RM700 per pax

Pakej Antarabangsa:

– Pass Standard: USD 1,200 per pax

– Pass Berkumpulan: USD 900 per pax (minimum 3 pax)

Selain itu, individu yang mendaftar untuk mana-mana pakej NHCCE 2024 sebelum 30 September juga akan menikmati potongan harga sebanyak 5%.

Semua pembelian pas persidangan ini boleh juga dituntut melalui levi HRD. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here