PEKAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) menyediakan pelbagai bantuan kewangan kepada pelajar yang tidak berkemampuan yang bakal mendaftar ke universiti itu, 28 September ini.

Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, antara yang telah disediakan adalah Bantuan Awal Insentif Pendidikan Yayasan UMPSA & Yayasan Perkasa Siswa sebanyak RM1,000.

Pelajar yang tidak berkemampuan juga akan diberikan Bantuan Komputer Riba untuk memudah cara sesi pengajian kelak.

Selain itu, mereka juga akan menerima Bantuan CARE4U Yayasan Perkasa Siswa sebanyak RM200, Bantuan Yayasan Pelajaran MARA dan Tajaan Ekuiti Nasional sebanyak RM2,500.

Tambah beliau, para penuntut juga berpeluang menerima Bantuan Dermasiswa B40 TVET Kementerian Pendidikan Tinggi yang akan membiayai keseluruhan kos yuran pengajian.

Selain itu, mereka juga akan menerima bantuan elaun wang saku sepanjang tempoh pengajian di UMPSA.

“Pihak universiti dan Yayasan UMPSA sentiasa prihatin dalam menghulurkan bantuan buat pelajar berkeperluan dalam meringankan beban mereka terutamanya ketika berada di awal pengajian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Prof Yuserrie, seramai 162 bakal mahasiswa daripada keluarga B40 telah dikenal pasti, setakat ini.

Daripada jumlah itu, seramai 30 pelajar miskin telah dihubungi pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

UMPSA juga katanya turut mengadakan Program Ziarah Prihatin untuk mengenal pasti keperluan pendaftaran pelajar termasuk pengangkutan untuk pergi ke universiti.

“Ibu bapa daripada keluarga B40 tidak perlu gusar dengan pembiayaan pelajar memandangkan pihak universiti melalui Yayasan UMPSA telah menyediakan pelbagai bantuan.

“Ini termasuk Insentif Kecemerlangan, Biasiswa UMPSA, UMPSA Campus Pantry, Dapur Siswa, Bantuan Zakat untuk mahasiswa Muslim, Bantuan Sara Diri untuk mahasiswa bukan Islam, Bantuan Musibah dan pelbagai lagi bantuan yang disediakan buat pelajar yang memerlukan,” katanya lagi.

Selain itu menurut Prof Yuserrie, Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) turut dilaksanakan bagi membantu anak pertama dalam keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti tersebut.

Tambahnya UMPSA telah memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM1.8 juta untuk pelbagai inisiatif khususnya bagi kebajikan pelajar.

Menurut beliau, seramai 70 peratus mahsiswa UMPSA adalah daripada keluarga B40 dan setakat bulan Jun lalu, sekurang-kurangnya 1,200 pelajar telah menerima pelbagai bantuan kewangan.

“Malahan Pelajar UMPSA yang layak, mereka boleh menggunakan aplikasi Kupon e-Kasih di aplikasi Adab@UMPSA untuk mendapatkan makanan secara percuma di kafeteria terpilih di dalam kampus Gambang dan Pekan.

“Inisiatif ini adalah disasarkan kepada pelajar daripada golongan B40 dan kurang berkemampuan yang mengalami kesempitan kewangan untuk membeli makanan,” katanya.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here