Mohd Sukki.

GEORGE TOWN – Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang akan bersidang untuk menyelaraskan keputusan berhubung ajaran dalam GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISB).

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr. Mohd Sukki Othman berkata, mesyuarat itu akan diadakan pada 15 Oktober depan bagi mendapatkan pandangan hukum dan fatwa terkini.

“Sebelum ini usaha menghidupkan semula Al-Arqam melalui Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. (SRC) dan rangkaian syarikat gabungannya telah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang pada 20 Ogos 2007.

“Dalam mesyuarat tersebut, jawatankuasa menggesa Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) untuk mengambil tindakan segera berdasarkan pewartaan yang telah dikeluarkan.

“Buat masa ini kita masih lagi mengikuti perkembangan termasuk melakukan pemantauan di negeri untuk memastikan mana- mana ajaran tidak sesat diamal dan disebarkan di sini,” katanya hari ini.

Terdahulu, Perlis menjadi negeri pertama mengisytiharkan GISB sebagai kumpulan ajaran sesat.

Ia susulan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran dalam GISB mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah iaitu kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang difatwakan sesat.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menerusi kenyataannya berkata, fatwa dikeluarkan selepas menerima bukti menyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi terbabit sesat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here