Azmin bercakap kepada pihak media selepas ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mesjid Lama, Kampung Melayu, Kluang, malam tadi.

KLUANG – Terpulang kepada kerajaan untuk menimbang semua pandangan dikemukakan Perikatan Nasional (PN) mengenai draf Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan untuk Ahli Parlimen Pembangkang sebelum mengambil langkah seterusnya.

“Kita telah kemukakan pandangan kenapa kita tolak (MoU tersebut). Maknanya perkara ini sekarang berada di tangan kerajaan untuk ambil kira semua pandangan daripada PN.

“Kerajaan boleh mengambil tindakan sewajarnya atas maklumat yang kita berikan,” ulas Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkenaan perkara tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mesjid Lama, Kampung Melayu di sini malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Yang Dipertua Pas Johor, Abdullah Husin.

Mohamed Azmin berkata, sekiranya kerajaan tidak mahu berunding semula dan masih mengekalkan syarat dan kandungan MoU yang sama, perkara tersebut tidak akan memberi sebarang makna.

Jelasnya, kerajaan wajar menghormati ahli Parlimen pembangkang yang sebulat suara menolak MoU berkenaan selepas mereka meneliti dan berbincang mengenainya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Whip Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihak pembangkang boleh mengemukakan cadangan baharu atau maklum balas mengenai draf MoU berkenaan.

Fadillah berkata, draf sedia ada boleh menjadi asas kepada perbincangan beliau turut menjelaskan sehingga hari ini, pihaknya belum lagi dihubungi pihak pembangkang bagi meneruskan perbincangan berkaitan MoU itu.

Pada 16 September lalu, Kerajaan Perpaduan telah mendedahkan dua draf MoU yang dirangka bersama-sama sebagai bukti ketelusan dalam perundingan mengenai peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang.

Fadillah berkata, keputusan itu dibuat susulan kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin bahawa PN menolak cadangan MoU berkenaan.

Kelmarin, Ketua Whip Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Kerajaan Perpaduan diminta menyediakan draf MoU baharu selain menubuhkan jawatankuasa khusus bagi membincangkan mengenai MoU antara kerajaan dan pembangkang.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here