Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Seorang peniaga kedai makan rugi RM200,000 selepas ditipu sindiket pelaburan tidak wujud yang menawarkan keuntungan RM100,000 dalam masa dua hari.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir berkata, mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut semalam.

“Mangsa yang berusia 46 tahun mendakwa menjadi mangsa penipuan sindiket yang menawarkan skim pelaburan yang tidak wujud.

“Dia mendakwa melihat iklan skim pelaburan dalam Facebook yang menawarkan keuntungan RM100,000 dalam masa dua hari jika melabur RM10,000.

“Mangsa dikatakan hanya perlu membuat bayaran ke akaun yang diberikan dan menunggu pulangan wang,” katanya dalam kenyataan akjhbar malam tadi.

Katanya,mangsa yang tertarik dengan kaedah mudah dan komisen tinggi serta cepat itu telah membuat lima kali transaksi pembayaran ke dalam satu akaun sebuah syarikat.

Keseluruhan transaksi berkenaan katanya, berjumlah RM200,000 untuk mendapatkan keuntungan yang banyak.

Menurut beliau, mangsa mula rasa ditipu apabila masih tidak menerima apa-apa keuntungan, sebaliknya suspek meminta peniaga itu membuat bayaran tambahan dan memberikan pelbagai alasan untuk tidak memberikan keuntungan yang dijanjikan.

Menurutnya, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan siasatan juga akan meliputi pembabitan keldai akaun sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terbabit,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan komisen yang tinggi dalam masa yang singkat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here